Mohina
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu menilai semula pelaksanaan program BUDI Diesel dengan meningkatkan kuota subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya ibu tunggal, peniaga kecil dan usahawan wanita.
Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Mohina Ronnie Sidom, berkata walaupun kerajaan sudah mengambil langkah positif meningkatkan kuota kepada 300 liter bagi kategori tertentu, namun ia masih banyak kelompongan yang perlu diambil kira.
Katanya, ramai pengguna yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk mencari rezeki menghadapi kesukaran kerana kuota tambahan itu masih ada tidak mencukupi.
“Ramai ibu tunggal dan usahawan wanita di Sabah menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau van diesel untuk menjalankan perniagaan atau menghantar hasil pertanian khususnya mereka berniaga di tamu.
“Keadaan geografi Sabah yang melibatkan perjalanan jauh, jalan luar bandar dan kos logistik yang tinggi memerlukan pendekatan dasar yang lebih fleksibel serta mengambil kira realiti kehidupan rakyat di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohina berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan kuota tambahan berdasarkan keperluan sebenar pengguna dan bukan hanya berdasarkan jenis kenderaan.
Katanya, pendekatan itu lebih adil dan akan memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan sasar yang bergantung kepada diesel untuk menjana pendapatan keluarga.
“Ibu tunggal dan penjaja wanita bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri, malah memikul tanggungjawab menyara anak-anak serta keluarga.
“Beban kenaikan kos diesel memberi kesan langsung kepada kelangsungan hidup mereka,” katanya.
Sementara itu, Mohina menyambut baik kenyataan Kementerian Kewangan berhubung usaha kerajaan untuk terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel dan kesediaan membuat penambahbaikan berdasarkan maklum balas rakyat.
Katanya, salah satu sektor yang perlu diambil perhatian dalam proses pernilaian berkenaan adalah suara wanita khususnya ibu tunggal dan usahawan mikro.
“Wanita UPKO percaya dasar subsidi yang bersasar perlu sentiasa bersifat responsif terhadap keadaan semasa. Penambahan kuota kepada golongan yang benar-benar memerlukan bukan sahaja dapat mengurangkan beban kos sara hidup, malah membantu memastikan kelangsungan perniagaan kecil yang menjadi sumber pendapatan utama ramai wanita.
“Apa yang pasti, bantuan yang lebih bersasar akan memperkukuh ekonomi keluarga, meningkatkan daya tahan perusahaan mikro serta menyokong agenda pemerkasaan wanita, khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai cabaran logistik dan mobiliti yang berbeza daripada negeri-negeri lain.
“Oleh itu, golongan wanita yang memenuhi kriteria ini sewajarnya turut diberikan pertimbangan khas agar tiada yang tercicir daripada manfaat subsidi bersasar,” tegasnya.



