ADVERTISEMENTspot_img

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia HWKKS 25 Julai Ini

Pakar Perubatan Transfusi Darah HWKKS, Dr. Jamaludin Mail.

KOTA KINABALU : Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) 2026 akan berlangsung selama dua hari bermula 25 Julai ini.

Pakar Perubatan Transfusi Darah HWKKS, Dr. Jamaludin Mail berkata, 

sambutan itu menunjukkan komitmen kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan untuk terus memperkukuh perkhidmatan darah negara melalui sokongan pendermaan darah secara sukarela.

“Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat HWKKS 2026 akan diadakan pada 25 dan 26 Julai 2026 di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu dan dijangka dirasmikan oleh Pengarah HWKKS, Dr. Yogendar A/L Panchalingam.

“Hari Penderma Darah Sedunia disambut pada 14 Jun setiap tahun sebagai tanda penghargaan kepada penderma darah sukarela dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah secara berkala bagi memastikan bekalan darah yang selamat, mencukupi dan sentiasa tersedia untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.

“Kempen tahun ini menekankan nilai kemanusiaan dalam pendermaan darah. Setiap titisan darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa serta melambangkan sikap prihatin, belas ihsan dan semangat membantu masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media berkenaan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkatbaru-baru ini.

Beliau memaklumkan, selain kempen pendermaan darah, turut diadakan penyampaian penghargaan kepada penderma dan penganjur, serta anugerah kepada individu dan organisasi yang banyak menyumbang kepada program pendermaan darah di HWKKS sepanjang tahun.

“HWKKS mengalu-alukan kehadiran orang ramai bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menyokong usaha murni ini. Setiap pendermaan darah berpotensi menyelamatkan sehingga tiga nyawa dan memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan ini serta bersama-sama menyokong usaha memastikan bekalan darah di negeri Sabah sentiasa mencukupi demi keperluan pesakit./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN