ADVERTISEMENTspot_img

Jamawi gesa syarat BUDI Diesel diteliti semula, ambil kira realiti Sabah

Jamawi melawat gerai pameran petani tempatan dalam acara tersebut


RANAU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar, berkata beberapa syarat pelaksanaan Program BUDI Diesel wajar diteliti semula bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar mengambil kira keadaan geografi, logistik serta keperluan sebenar rakyat Sabah, khususnya golongan petani, penternak dan nelayan.


Beliau berkata kerajaan negeri tidak mengambil pendekatan membuat kenyataan secara terbuka di media sosial semata-mata, sebaliknya memilih saluran rasmi melalui perbincangan strategik bersama Kementerian Kewangan Malaysia bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap program berkenaan.


Menurutnya, sebelum isu itu dibawa ke Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah, beliau telah mengadakan sesi libat urus bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Johan Mahmood Merican, wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta ketua-ketua jabatan di bawah kementeriannya bagi mengumpulkan maklumat dan pandangan daripada pelbagai pihak.


“Hasil pertemuan tersebut mendapati terdapat beberapa perkara yang mungkin terlepas pandang ketika syarat Program BUDI Diesel dirangka, khususnya dari sudut realiti di Sabah yang berbeza dengan Semenanjung Malaysia.


“Keadaan logistik, bentuk muka bumi, penggunaan kenderaan pacuan empat roda serta keperluan sebenar sektor pertanian dan penternakan di negeri ini memerlukan pendekatan yang lebih sesuai,” katanya.


Jamawi berkata perkara itu kemudiannya dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.


Beliau berkata kabinet negeri telah bersetuju supaya maklumat tambahan mengenai keadaan sebenar di Sabah disalurkan kepada Kementerian Kewangan Malaysia sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.


Menurut beliau, antara maklumat yang akan dikemukakan termasuk cabaran logistik di kawasan luar bandar, penggunaan diesel dalam sektor pertanian, serta keperluan penggunaan kenderaan seperti pikap pacuan empat roda (single cab) yang menjadi nadi pengangkutan hasil pertanian di Sabah.


“Mesyuarat kabinet telah memutuskan dua tindakan utama. Pertama, satu sesi libat urus akan diadakan bersama Kementerian Kewangan Persekutuan, KPDN serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri pada Jumaat ini bagi mendapatkan input daripada penjawat awam yang terlibat secara langsung.


“Kedua, satu lagi sesi libat urus akan diadakan bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan pada Ahad ini sempena prapersidangan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan wakil rakyat menyampaikan sendiri pandangan dan maklum balas daripada rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.


Jamawi berkata pendekatan itu membolehkan kerajaan persekutuan menerima gambaran yang lebih menyeluruh sebelum mempertimbangkan penambahbaikan terhadap syarat Program BUDI Diesel.


Beliau menegaskan bahawa isu berkenaan amat penting kerana sebahagian besar penerima yang terkesan terdiri daripada golongan petani, penternak dan nelayan yang menjadi tulang belakang sektor agromakanan Sabah.


Mengambil contoh kawasan Kundasang, beliau berkata kebanyakan pengusaha pertanian menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi mengangkut hasil tanaman kerana keadaan jalan yang berbukit dan mencabar.


“Kita tidak boleh menyamakan keadaan di Sabah dengan Semenanjung. Di kawasan seperti Kundasang, jalan ladang dan kawasan pertanian memerlukan penggunaan kenderaan pacuan empat roda. Tidak mungkin kenderaan biasa mampu digunakan untuk mengangkut hasil pertanian.


“Malah sebahagian besar bekalan sayur-sayuran Sabah dihasilkan di kawasan tanah tinggi seperti Kundasang yang sememangnya bergantung kepada kenderaan diesel untuk operasi harian,” katanya.


Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat juga petani yang memiliki kenderaan lama atau masih dalam pembiayaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelayakan mereka di bawah syarat sedia ada.


Sehubungan itu, beliau berkata MAFFI akan mengadakan satu lagi mesyuarat khas bersama pegawai Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya dalam masa terdekat bagi membincangkan isu tersebut secara lebih terperinci.


“Saya berharap selepas beberapa siri libat urus ini, Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan penyesuaian terhadap syarat Program BUDI Diesel agar lebih selaras dengan realiti kehidupan rakyat Sabah.


“Apa yang kita perjuangkan bukan untuk menolak dasar kerajaan, tetapi memastikan pelaksanaannya benar-benar memenuhi keperluan rakyat di negeri ini,” katanya.


Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk terus menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan persekutuan supaya setiap dasar yang dilaksanakan mengambil kira keadaan sebenar di Sabah serta memberi manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Tanah Ragut, Pelancaran Kebun Dapur dan Kempen Vaksinasi Haiwan Peliharaan anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 jabatan itu di sini pada Selasa.


Hadir sama, Adun Paginatan merangkap Pengerusi Perbadanan Kredit Sabah Datuk Rusdin Riman; Setiausaha Tetap MAFFI Datuk Jumain Abdul Ghani; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah Dr Zul Bahar Abdul Rashid; Pengurus Besar LIGS Sabdil Tanjong; Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA) Michael Jimli Gujilo; Pengerusi Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) Datuk Dr Ramle Kasin; Pengerusi Pertubuhan Peladang Kinabalu Ranau Datuk Faimin Kamin; serta ketua-ketua agensi di bawah MAFFI dan tetamu jemputan lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN