Arthur ketika menyampaikan ucapan pada program tersebut.
KOTA KINABALU : Rang Undang-undang (RUU) Perubahan Iklim Negara akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa yang terdekat.Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) Malaysia,
Datuk Sri Arthur Joseph Kurup berkata, pelaksanaan RUU itu membolehkan Malaysia mempunyai Undang-Undang Perubahan Iklim sendiri ataupun Climate Change Act.
“Kalau kita berjaya melaksanakannya, kita akan menjadi negara yang kedua di rantau ASEAN dan di seluruh dunia serta, negara yang ke-60 untuk mempunyai RUU yang khusus berkaitan perubahan iklim.
“Langkah selepas itu beralih kepada pelaksanaan cukai karbon dan NRES akan melaksanakan rangka kerja, dasarnya akan ditentukan oleh kementerian tetapi pengoperasian akan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan.
“Kita mahu memastikan pungutan cukai karbon bukan sahaja sebagai hukuman kepada industri tetapi ia harus dilihat sebagai satu insentif untuk beralih kepada kaedah pemprosesan ataupun operasi yang mesra alam dan beralih kepada teknologi hijau,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Sidang Kemuncak Pelaburan Berimpak Asia-Pasifik Pembangunan Mampan Sabah 2026 (Sabah AIMS 2026), di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan persidanganSabah AIMS 2026kerana
Sabah mempunyai kelebihan liputan hutan sekitar 63 peratus, yang menyumbang kepada 54.4 peratus daripada keseluruhan liputan hutan seluruh negara.
“Sabah mempunyai liputan hutan yang luas, tetapi pada masa yang sama rakyat memerlukan pembangunan, jadi kita perlu mencari keseimbangan di antara konservasi dan juga pembangunan.
“Melalui program seperti ini, kita berharap dapat menarik lebih ramai pelabur dan juga pengamal teknologi hijau ke Sabah seterusnya membantu kita untuk mencapai keperluan pembangunan dengan mengimbangi keperluan dan konservasi hutan dan alam sekitar,” ujarnya.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Josie Lai Ming Sing, Pengerusi George Town Institute of Open and Advanced Studies (GIOAS), Tan Sri Andrew Sheng, Pengerusi Invest Sabah Sdn Bhd, Datuk Roger Chin.
Untuk rekod, Sabah AIMS 2026 yang berlangsung selama dua hari bertemakan ‘Turn, Learn, Earn’ merupakan penganjuran julung kali yang menghimpunkan lebih 300 profesional serta pemain industri daripada pelbagai bidang berkaitan dari rantau Asia-Pasifik, termasuk Malaysia, Singapura, Hong Kong, China, Taiwan, Bhutan, India, Australia, Afrika Selatan, Perancis, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat./Penerangan–



