Atlet Veteran Labuan yang meyertai SOMAC 2026 di Stadium Likas baru baru ini.
LABUAN: Pasukan gabungan Faxtive Athletics Club Labuan (FXAC) dan Persatuan Olimpian Amatur Labuan (POAL) mencatat prestasi membanggakan selepas meraih 12 pingat pada Kejohanan Sabah Master Athletics Open Championship (SAMOC) 2026 yang diadakan di Stadium Likas baru baru ini.
Pasukan dari Wilayah Persekutuan Labuan diwakili seramai 26 atlet berusia antara 30 hingga 75 tahun.
Pada kejohanan itu, mereka berjaya membawa pulang lima pingat emas, tiga pingat perak dan empat pingat gangsa dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.
Setiausaha FXAC merangkap Pengurus Pasukan, Jennifer Julius berkata pencapaian tersebut membuktikan atlet veteran Labuan masih mampu memberikan saingan sengit dan mempamerkan prestasi cemerlang di peringkat negeri.
Antara penyumbang utama pingat emas ialah Allan Chin Ah Fatt yang menjuarai acara 800 meter kategori M70 hingga M74 serta meraih pingat perak dalam acara 3,000 meter.
Masry Ali pula mempertahankan pingat emas dalam acara 1,500 meter kategori M45 hingga M49.
Jessica Suip turut mempertahankan emas dalam acara 3,000 meter jalan kaki kategori W35 hingga W39 serta meraih pingat perak dalam kategori yang sama.
Sementara itu, Junainah Azaman mencipta kejutan apabila merangkul emas dalam acara lompat jauh kategori W45 hingga W49, manakala Cecelia Ang E. Chen mengekalkan dominasi dalam acara 3,000 meter jalan kaki kategori W60 hingga W64.
Pingat perak turut disumbangkan Stella Josiris menerusi acara lompat pagar kategori W35 hingga W39, manakala pingat gangsa diperoleh Chong Su Kim dalam acara 100 meter kategori W70 hingga W74, Lee Kiat Khim menerusi acara 400 meter kategori M60 hingga M64 dan Juliza Abdullah dalam acara lontar peluru kategori W40 hingga W44.
Sebanyak 35 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dengan pasukan FXAC menamatkan saingan di kedudukan ke-14 keseluruhan.



