ADVERTISEMENTspot_img

Jahid Jahim Akhiri Kepimpinan Enam Penggal PBS Tamparuli, Serah Amanah Kepada Barisan Baharu

TAMPARULI: Bekas menteri Kabinet Sabah dan veteran Parti Bersatu Sabah (PBS), Jahid Jahim, mengakhiri era kepimpinannya sebagai Ketua Bahagian PBS N.14 Tamparuli selepas enam penggal apabila secara rasmi menyerahkan tampuk kepimpinan kepada barisan baharu bahagian itu.

Dalam catatan yang dimuat naik di Facebook, Jahid menyifatkan penamatan tugasnya sebagai satu lembaran paling bersejarah dalam perjalanan politiknya di Tamparuli, selain meluahkan rasa syukur atas peluang mengabdikan sebahagian besar kehidupannya berkhidmat kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata enam penggal menerajui bahagian itu bukan sekadar tempoh perkhidmatan, sebaliknya dipenuhi pelbagai pengalaman bersama rakyat, termasuk menyantuni penduduk dari kampung ke kampung, meraikan kejayaan serta mengharungi pelbagai cabaran dan kekalahan.

“Saya bukan pemimpin yang sempurna. Sudah tentu sepanjang perjalanan ini ada kata-kata yang tersilap, keputusan yang tidak memenuhi harapan semua, dan kekurangan yang mungkin pernah melukakan hati sesiapa.

“Dari lubuk hati yang paling dalam, saya bersama isteri menyusun sepuluh jari memohon kemaafan atas segala kekhilafan kami,” katanya.

Jahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli parti dan rakyat Tamparuli yang terus memberikan kepercayaan serta sokongan sepanjang beliau menerajui bahagian itu.

Beliau berkata walaupun tidak lagi memimpin bahagian berkenaan, kasih sayangnya terhadap Tamparuli dan rakyatnya tidak akan pernah berakhir.

“Seorang pemimpin mungkin mengakhiri jawatan, tetapi cintanya kepada rakyat tidak pernah bersara,” katanya.

Jahid turut mendoakan agar kepimpinan baharu PBS Bahagian N.14 Tamparuli terus memimpin dengan penuh keberanian, keikhlasan dan kebijaksanaan, di samping mengutamakan perpaduan serta kebajikan rakyat.

Beliau berkata beliau akan terus menyokong perjuangan parti dan pembangunan Tamparuli walaupun bukan lagi berada di barisan hadapan kepimpinan.

“Sekiranya suatu hari nanti nama saya hanya tinggal dalam lipatan sejarah perjuangan PBS Tamparuli, cukuplah saya dikenang sebagai seorang insan yang pernah mencintai rakyatnya dengan seikhlas hati,” katanya.

Jahid merupakan antara pemimpin kanan PBS yang pernah berkhidmat sebagai menteri dalam Kabinet Sabah serta memainkan pelbagai peranan dalam pentadbiran negeri dan pembangunan kawasan Tamparuli sepanjang penglibatannya dalam politik.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN