ADVERTISEMENTspot_img

Remaja dan Kanak-Kanak Turut Tumpang Belajar Bahasa Inggeris di Kampung Molisau

TAMPARULI: Walaupun program English For Employability di Kampung Molisau, Tenghilan dikhususkan kepada peserta berumur 18 hingga 45 tahun, kehadiran beberapa remaja dan kanak-kanak yang turut mengikuti sesi pembelajaran itu secara tidak langsung mencerminkan minat tinggi golongan muda terhadap Bahasa Inggeris.

Mereka yang hadir bukanlah peserta rasmi program, namun sanggup meluangkan masa pada waktu malam untuk duduk bersama peserta lain bagi mendengar dan mempelajari asas-asas Bahasa Inggeris yang diajar sepanjang kelas berlangsung.

Keadaan itu menunjukkan bahawa kesedaran mengenai kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris bukan sahaja wujud dalam kalangan orang dewasa, malah turut dirasai oleh generasi muda yang melihat bahasa tersebut sebagai satu kemahiran penting untuk masa depan.

Salah seorang daripada mereka, Viola Vicentia, 12 tahun, berkata beliau berasa gembira kerana diberi peluang untuk mengikuti sesi pembelajaran tersebut walaupun tidak termasuk dalam kategori peserta yang layak menyertai program berkenaan.

Menurutnya, setiap sesi pembelajaran memberi pengalaman baharu dan membantu beliau memahami penggunaan Bahasa Inggeris dengan lebih baik.

“Walaupun kami hanya datang untuk mendengar dan belajar bersama-sama, kami sangat menghargai peluang ini kerana dapat menambah pengetahuan dan keyakinan untuk menggunakan Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dan dibuka kepada lebih ramai golongan muda.

“Kami berharap suatu hari nanti apabila umur kami sudah mencapai 18 tahun, kami juga akan berpeluang menyertai program seperti ini sebagai peserta rasmi,” katanya lagi.

Seorang lagi pelajar, Sadiona Rudy, 15 tahun, berkata beliau menyedari bahawa program tersebut sebenarnya dikhaskan kepada peserta berumur 18 tahun ke atas, namun itu tidak menghalangnya daripada hadir bersama rakan-rakan seusianya untuk mengikuti kelas berkenaan.

Menurut beliau, minat yang mendalam terhadap mata pelajaran Bahasa Inggeris mendorongnya untuk mengambil peluang belajar daripada tenaga pengajar dan peserta yang lebih berpengalaman.

“Saya memang meminati mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Sebab itu saya datang bersama rakan-rakan untuk mendengar dan belajar walaupun kami belum cukup umur untuk menjadi peserta rasmi program ini,” katanya.

Beliau berkata, selain menambah pengetahuan, penyertaannya dalam kelas tersebut juga merupakan cara terbaik untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang lebih bermanfaat.

“Daripada hanya duduk di rumah atau bermain telefon, lebih baik kami datang belajar sesuatu yang boleh membantu kami dalam pelajaran dan masa depan,” katanya.

Kehadiran golongan kanak-kanak dan remaja dalam kelas tersebut turut mendapat perhatian masyarakat setempat yang melihatnya sebagai satu perkembangan positif dalam usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

Ramai berpendapat bahawa minat yang ditunjukkan oleh golongan muda itu perlu diberi galakan kerana ia mampu membantu mereka meningkatkan prestasi akademik serta membina keyakinan diri sejak usia muda.

Selain itu, penglibatan mereka juga membuktikan bahawa aktiviti pendidikan dan pembangunan diri masih mendapat tempat dalam kalangan generasi muda apabila diberikan peluang dan pendedahan yang sesuai.

Program seperti English For Employability bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dewasa yang ingin meningkatkan kemahiran untuk pekerjaan, malah secara tidak langsung menjadi sumber inspirasi kepada kanak-kanak dan remaja untuk terus menuntut ilmu dan mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan.

Semangat yang ditunjukkan oleh golongan muda di Kampung Molisau ini membuktikan bahawa keinginan untuk belajar tidak mengenal usia. Dengan sokongan masyarakat dan peluang pembelajaran yang berterusan, usaha memperkasakan pendidikan di peringkat komuniti mampu melahirkan generasi yang lebih berilmu, berkeyakinan serta berdaya saing pada masa hadapan. -ATENG

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN