ADVERTISEMENTspot_img

Data Banci Ekonomi 2026 Perkukuh Pelaksanaan SMJ 2.0

GIMIK.. Jonnybone (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian.

KOTA KINABALU : Data Banci Ekonomi 2026 memperkukuhkan pelaksanaan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Dr. Jonnybone J. Kurum berkata, data berkualiti penting dalam memacu perancangan pembangunan di negeri ini.
“Kejayaan pelaksanaan SMJ 2.0 amat bergantung kepada ketersediaan data yang lengkap, tepat dan terkini.


“Dalam konteks ini, Banci Ekonomi 2026 merupakan antara sumber data paling penting yang akan menyokong perancangan, pelaksanaan dan pemantauan agenda SMJ 2.0.


“Selain itu, data yang dihasilkan akan membantu kerajaan memahami landskap ekonomi semasa, mengenal pasti sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi serta merancang strategi pembangunan lebih mampan dan inklusif,” 

katanya ketika merasmikan program Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026, di sini, pada Khamis.

Menurut Jonnybone, data berkualiti itu bakal memacu sasaran progresif kerajaan negeri untuk mencapai nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi RM100 bilion menjelang tahun 2030.Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri telah selesai membanci lebih 60 peratus daripada keseluruhan sekitar 90,000 pertubuhan yang disasarkan di sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan & pengkuarian.


“Pelaksanaan Fasa 1 meliputi pertubuhan Mikro telah bermula pada Januari hingga Mac lalu, manakala Fasa 2 dan 3 meliputi pertubuhan Besar, Sederhana dan Kecil sedang berjalan dari April hingga September 2026,” ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti perniagaan dan badan profesional di negeri ini untuk terus memberikan kerjasama penuh sebagai rakan strategik DOSM bagi memastikan kadar respons yang tinggi.
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua maklumat yang diberikan adalah dilindungi di bawah peruntukan undang-undang dan kerahsiaan responden sentiasa diutamakan.


Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sabah, Khairolnizam Hassan./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN