ADVERTISEMENTspot_img

Liga Wanita Nasional 2026Sabah seri dengan Kelana United

Kesebelasan utama Sabah ketika menentang Kelana United ada saingan Liga Wanita Nasional 2026 di Stadium MPAJ Kuala Lumpur semalam. Perlawanan itu berkesudahan seri tanpa jaringan. 

Oleh: Vitalis G.Bingkasan

KOTA KINABALU: Pasukan Sabah FA dan Kelana United FC seri tanpa jaringan pada perlawanan saingan Liga Bolasepak Wanita Nasional 2026 di Stadium MPAJ, Kuala Lumpur semalam.

Ia adalah keputusan seri pertama kedua-dua bekas juara itu selepas menang dua perlawanan pertama mereka sebelum ini.

Sabah yang juara bertahan dan juara 2023 memulakan cabaran dengan kemenangan 4-0 ke atas Young Tigress sebelum membelasah Kuala Lumpur FA 5-1 pada perlawanan kedua. 

Kelana United selaku juara 2024 pula menang 3-0 ke atas Kuala Lumpur  pada perlawanan pertama dan 4-0 ke atas Red Eagles SC pada perlawanan keduanya.

Keputusan seri semalam masih meletakkan Sabah dan Kelana United di dua tangga teratas dengan tujuh mata, hanya dijarakkan perbezaan jaringan yang berpihak kepada Sabah.

Bagaimanapun, keputusan itu meletakkan dua bekas juara berkenan dalam situasi kurang selesa terutama dengan Selangor FC yang hanya satu mata di belakang selepas menang besar dua perlawanan pertamanya.

Menang besar 7-1 ke atas Red Eagles dan menenggelamkan Young Tigress 9-0 pada dua perlawanan pertama adalah amaran jelas bahawa Selangor mampu mengambil alih kedudukan teratas jika dapat meneruskan rentak cemerlangnya itu pada perlawanan ketiga menentang Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Enam pasukan  bersaing dalam liga itu yang dijalankan secara timbal balik (main tempat sendiri dan tempat lawan) bagi menentukan kedudukan akhir berdasarkan kutipan mata selepas semua perlawanan selesai.

Kesebelasan utama Sabah ketika menentang Kelana United ialah Asma Junaidi (penjaga gol), Steffi Sarge, Ayuri Terawaki, Haindee Mosroh, Rosdianah Adeline, Juliana Barek, Jessica Susanne, Sebin An, Delainey Varela-keen, Mai-lisa Atis dan Dian Aqilah.

Pemain simpanan pula ialah Ezza Ashikin, Usliza Usman, Henrietta Justine, Nurfaizah Saidin, Adrienna Zamzaihiri, Farahiyah Ridzuan dan Delvira Dabbie.

Sabah  menguasai 65 peratus permainan dan mencipta beberapa peluang baik tetapi gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Penjaga gol Kelana United, Zawani Nisha juga bertindak cemerlang menafikan peluang  terutama menerusi percubaan pemain import Sabah dari Korea, Sebin An yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

Percubaan jarak jauh An pada minit ke-67 berjaya menewaskan Zawani tetapi dikecewakan oleh tiang gol lawan.

Skuad Sabah yang dibimbing Bobby Gonzales akan meneruskan cabaran menentang Selangor FC di Stadium Likas pada 25 Julai.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN