ADVERTISEMENTspot_img

Wacana Pemikir Platform Bincangkan Isu Geopolitik, Cabaran Dunia Global

KENANGAN…Nizam (lima dari kanan) bergambar bersama tetamu kehormat dan masyarakat yang hadir.

TAWAU : Program Wacana Pemikir menjadi platform penting membincangkan isu geopolitik semasa dalam memperkukuh identiti rakyat Sabah agar sentiasa berpegang teguh kepada nilai agama serta budaya tempatan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata program anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) itu berjaya membuka ruang perbincangan yang sihat mengenai isu geopolitik semasa serta cabaran yang sedang dihadapi masyarakat dunia.


“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada USIA yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Sapawi Ahmad kerana berjaya menganjurkan Program Wacana Pemikir Zon Tawau.


“Saya difahamkan ini merupakan siri pertama dalam jelajah wacana berkenaan dan ia berjaya menghimpunkan ramai pemimpin akar umbi dari kawasan Parlimen Tawau, Kalabakan serta Semporna.”Pendedahan yang diberikan oleh panel yang terdiri daripada anak Sabah sendiri mampu membantu masyarakat memahami perkembangan geopolitik global secara lebih objektif dan matang.


“Meskipun kita mempunyai pemikiran yang terbuka dalam menilai sesuatu isu, namun pada masa sama tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan negara.

“Kita mesti mempunyai pandangan tersendiri tanpa terikut-ikut dengan rentak pihak tertentu yang tidak memberi manfaat kepada keharmonian kehidupan di negara ini.

Apa yang berlaku di peringkat global perlu dinilai secara bijaksana kerana banyak perkara berada di luar lingkungan kuasa kita, ” ujarnya ketika merasmikan Program Wacana Pemikir Peringkat Zon Tawau 2026 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini pada Sabtu.

Nizam berkata, penganjuran siri wacana itu mampu membentuk identiti rakyat Sabah yang progresif, mampu bersaing di peringkat global tetapi tidak melupakan akar budaya dan nilai keagamaan yang menjadi asas pembentukan masyarakat negeri ini.


“Program seperti ini membantu membentuk jati diri rakyat Sabah yang berfikiran terbuka, berdaya saing dan pada masa sama kekal berpegang kepada nilai agama serta budaya yang menjadi kekuatan kita.

“Rakyat Sabah perlu terus memelihara perpaduan dan tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam negara terhadap konflik atau peristiwa yang berlaku di luar negara, rakyat harus terus bersatu padu serta menyokong agenda pembangunan yang dibawa oleh kepimpinan negara dan negeri demi memastikan kestabilan, kemajuan serta kesejahteraan rakyat dapat dikekalkan,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Datin Shonitah Terang dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN