Mayat adek Putra Faris yang ditemukan lemas di Sungai Ganggarak pada petang Khamis.
LABUAN: Polis di sini mengesahkan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang hilang di Sungai Ganggarak Permai, petang Rabu ditemukan lemas lalu.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superintendent Wan Mohd Firdaus bin Wan Zaki berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 17 Jun 2026 kira-kira jam 6.54 petang selepas
menerima maklumat mengenai seorang kanak-kanak yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan
dihanyutkan arus.
Siasatan awal mendapati mangsa berada di kawasan taman permainan bersama beberapa rakannya sebelum berlari ke arah sungai berhampiran. Seorang rakan mangsa yang cuba menghalangnya telah melihat mangsa tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.
Usaha menyelamatkan mangsa tidak berjaya berikutan arus sungai yang deras.
Susulan kejadian tersebut, satu Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah dilancarkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela serta penduduk setempat melibatkan seramai 68 keanggotaan bersama jentera bantuan.
“Mangsa yang dikenali sebagai Putra Faris Suhaimi kemudiannya berjaya ditemukan oleh pasukan SAR pada jam 3.30 petang pada Khamis”, katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dam Penyelamat (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Abdul Rahman Ali dalam satu kenyataan berkata, mayat Putra Faris ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat jam 3.30 petang kira-kira 50 meter dari lokasi selipar dipercayai miliknya dijumpai semalam.
Mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
Kejadian itu turut menjadi peringatan kepada ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau aktiviti kanak-kanak, khususnya ketika berada di kawasan sungai, pantai atau lokasi rekreasi air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.



