ADVERTISEMENTspot_img

Program Derma Darah Ranau Kumpul 41 Pain Darah Bantu Tabung Hospital

Pengerusi (RSCKKPPR) Datuk Mistrine Radin menyampaikan sijil penghargaan kepada cikgu Rosly Biun

RANAU: Program derma darah bertemakan “Setitis Darah Sejuta Harapan” anjuran Rotary Satellite Club of Kota Kinabalu Pearl Prismatic Ranau (RSCKKPPR) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau berjaya mengumpul 41 pain darah untuk disalurkan kepada Tabung Darah Hospital Ranau.

Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lohan itu melibatkan penyertaan pelajar Tingkatan Enam dari SMK Lohan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Muhammad Ali, selain guru-guru serta ibu bapa.

Pengetua SMK Lohan, Hanie Kumil berkata program derma darah tahunan sekolah itu pada tahun ini dilaksanakan dengan lebih teratur dan komprehensif melalui kerjasama pelbagai agensi serta badan sukarela.

Menurut beliau, selain kempen derma darah, pihak penganjur turut menyediakan beberapa perkhidmatan kesihatan lain secara serentak termasuk pemeriksaan mata untuk pelajar dan pemeriksaan kesihatan wanita yang disasarkan kepada ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sementara itu, Pengerusi RSCKKPPR, Datuk Dr. Mistirine Radin merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Sebahagian pelajar prauniversiti hadir untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta menyertai program derma darah.



Beliau berkata kejayaan program itu adalah hasil kerjasama erat antara Hospital Ranau, Klinik Kesihatan Lohan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Ranau serta urus setia yang diketuai oleh Rosly Biun, Fariza Fauzi dan Samson Yanga.

“Komitmen dan dedikasi semua pihak yang terlibat telah memastikan program berjalan lancar, tersusun dan mencapai objektif yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menghargai sokongan pelbagai pihak yang menyumbang kepada kelancaran program termasuk penajaan makanan dan minuman oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, ADUN Paginatan dan Perbadanan Pinjaman Sabah.

Program itu merupakan antara inisiatif berterusan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah serta menggalakkan amalan hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN