ADVERTISEMENTspot_img

Messi Cipta Sejarah, Argentina Mulakan Kempen Piala Dunia Dengan Bergaya

Messi

KANSAS CITY: Kapten Argentina, Lionel Messi mencipta sejarah apabila menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia selepas meledak hatrik untuk membantu juara bertahan itu menewaskan Algeria dalam aksi pembukaan Kumpulan J.

Pada penampilan ke-200 bersama skuad kebangsaan, Messi menjaringkan hatrik pertamanya di pentas Piala Dunia sekali gus mengukir satu lagi pencapaian gemilang dalam kariernya yang cemerlang.

Jaringan tersebut menyaksikan pemenang lapan kali anugerah Ballon d’Or itu kini mengumpul 16 gol di pusingan akhir Piala Dunia, sekali gus menyamai rekod legenda Jerman, Miroslav Klose, sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan berprestij itu.

Argentina, yang memburu gelaran dunia keempat serta berusaha menjadi negara ketiga dalam sejarah yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Dunia, bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan di Stadium Kansas City.

Kemenangan itu juga mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kali pertama Argentina memenangi perlawanan pembukaan Piala Dunia sebagai juara bertahan selepas tewas dalam aksi pertama edisi 1982 dan 1990.

Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi rembatan lencong menarik yang gagal diselamatkan penjaga gol Algeria, Luca Zidane, anak kepada legenda Perancis, Zinedine Zidane.

Pemain berusia 38 tahun itu menerima hantaran daripada rakan sepasukannya di Inter Miami, Rodrigo De Paul, sebelum melepaskan rembatan tepat untuk menewaskan Luca Zidane dalam penampilan Piala Dunia ke-27 beliau.

Perlawanan berlangsung rancak sejak awal dengan kedua-dua pasukan menyaksikan jaringan mereka dibatalkan oleh pengadil dalam tempoh beberapa minit pertama.

Messi yang turut mencipta rekod sebagai pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, bernasib baik tidak dikenakan tindakan lebih tegas selepas melakukan terjahan berbahaya terhadap pemain Algeria, Aissa Mandi, pada pertengahan babak pertama.

Gol kedua Argentina hadir pada minit ke-60 apabila Messi pantas memanfaatkan kesilapan Luca Zidane sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-76 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti hasil gerakan yang dimulakan oleh Nicolas Gonzalez.

Kemenangan itu meletakkan Argentina di landasan terbaik dalam Kumpulan J, dengan juara dunia tiga kali itu dijadualkan menentang Austria dan Jordan dalam baki perlawanan kumpulan.-BBC

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN