Jamawi (lima dari kiri) bergambar dengan semua yang turut serta dalam lawatan tapak jeti itu.
TENOM: Sebuah jeti khas untuk nelayan darat bernilai RM200,000 bakal dibina di bawah jambatan baharu Pekan Tenom bagi meningkatkan pendapatan penangkap ikan sungai dan mewujudkan tarikan pelancongan baharu di daerah itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, reka bentuk akhir jeti tersebut sedang dimuktamadkan oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Ko-Nelayan.
Menurutnya, projek itu akan menjadi kemudahan pertama seumpamanya yang memberi fokus kepada nelayan darat.
“Kita mahu memungkinkan nelayan darat ini meningkatkan pendapatan mereka. Mereka akan menggunakan jeti tersebut sebagai tempat mendaratkan ikan dengan lebih teratur,” katanya ketika ditemui media ketika melawat tapak jeti itu di sini, pada Selasa.
Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, masyarakat Tenom juga berpeluang mendapatkan bekalan ikan sungai segar setiap hari apabila jeti itu siap kelak.
“Setiap pagi kita akan mengadakan jualan ikan darat atau ikan sungai di kawasan tersebut yang mungkin tidak berlaku di mana-mana tempat lain,” katanya.
Sebagai sokongan kepada industri perikanan darat, beliau berkata, Kerajaan telah menyumbangkan lapan buah bot lengkap bersama enjin dan peralatan menangkap ikan kepada lapan nelayan darat.
Katanya, bantuan itu bernilai kira-kira RM120,000 dan disalurkan melalui Jabatan Perikanan.
“Ini antara perkara yang amat menyenangkan hati saya untuk meningkatkan dan memberikan pengiktirafan kepada nelayan atau penangkap ikan sungai yang selama ini terpinggir,” katanya.
Jamawi berkata, kawasan jeti berkenaan juga dirancang menjadi produk pelancongan baharu apabila projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan siap sepenuhnya.
Menurutnya, gerai-gerai akan dibina di kawasan berkenaan bagi membolehkan orang ramai menikmati suasana petang dan pemandangan matahari terbenam di bawah jambatan baharu Tenom.
“Kita mungkin buka sebelah malam atau sebelah petang supaya orang Tenom dan kawasan sekitar dapat menikmati pemandangan sunset yang amat indah,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memperbanyakkan tarikan pelancongan dan menyediakan kemudahan baharu kepada masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau berkata, kerja pembersihan sungai dan parit turut dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan kediaman dan premis perniagaan di daerah itu.
Hadir sama dalam lawatan ke tapak jeti itu ialah jurutera Jabatan Perparitan dan Saliran Tenom (JPS), Lahaman Shah; Jurutera Jabatan Kerja Raya Tenom (JKR), Raffee; Jurutera Ko-Nelayan, Azizulhelmi Ismail; Pegawai Pertanian Tenom Tuan Fauzi Gulam serta pegawai – pegawai MAFFI.



