Pengerusi Nicholas Ng Dan semua ahli AJK mengambil Gambar dengan semua ahli yang berumu 65 keAtas selepas menyampaikan sumbangan Warga Tua.
KOTA KINABALU: Persatuan Wu Kota Kinabalu Sabah berjaya meluluskan sebanyak 54 cadangan pindaan perlembagaan secara sebulat suara pada Mesyuarat Agung Luar Biasa Kali Kedua Penggal Ke-9 (2024–2026) yang diadakan baru-baru ini.
Kelulusan itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh struktur pentadbiran dan pengurusan persatuan, selain menyediakan asas yang lebih mantap bagi menyokong pembangunan organisasi pada masa hadapan.
Pengerusi Persatuan Wu Kota Kinabalu Sabah, Nicholas Ng berkata, kejayaan melaksanakan pindaan berkenaan mencerminkan kesepakatan, perpaduan dan komitmen tinggi dalam kalangan ahli terhadap hala tuju persatuan.
“Perlembagaan merupakan tunjang utama yang menjadi panduan dalam pentadbiran sesebuah pertubuhan. Kelulusan sebulat suara ini membuktikan ahli-ahli mempunyai keyakinan terhadap usaha memperkukuh tadbir urus persatuan demi kepentingan bersama,” katanya.
Menurut beliau, cadangan pindaan itu sebenarnya telah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2025, namun berdasarkan keperluan prosedur Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), satu Mesyuarat Agung Luar Biasa perlu diadakan bagi membolehkan perkara tersebut diteliti dan disahkan semula.
Dalam mesyuarat berkenaan, ahli-ahli yang hadir sekali lagi memberikan persetujuan penuh terhadap keseluruhan pindaan yang dicadangkan, sekali gus melengkapkan proses pindaan perlembagaan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Mesyuarat itu turut menyaksikan kelulusan cadangan untuk mengeluarkan sebahagian dana Simpanan Tetap (Fixed Deposit) persatuan sebagai pendahuluan bagi membiayai penganjuran Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Persatuan yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
Cadangan tersebut mendapat sokongan penuh daripada ahli-ahli yang hadir, mencerminkan keyakinan mereka terhadap perancangan jangka panjang persatuan serta usaha memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti keluarga Wu.
Selepas mesyuarat, persatuan turut mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Sumbangan Warga Emas sebagai sebahagian daripada usaha menghargai pencapaian serta jasa ahli-ahlinya.
Seramai 12 pelajar menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka dalam bidang pendidikan.
Pada masa sama, tujuh ahli senior berusia 65 tahun ke atas menerima Sumbangan Warga Emas sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan sokongan berterusan mereka terhadap perkembangan persatuan serta komuniti keluarga Wu.
Nicholas turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, ahli persatuan dan keluarga Wu yang sentiasa memberikan komitmen serta sokongan kepada setiap program yang dianjurkan.
Beliau berharap semangat kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan akan terus diperkukuhkan menerusi penglibatan aktif ahli dalam pelbagai aktiviti persatuan pada masa akan datang.
“Majlis makan malam ulang tahun ke-25 yang akan diadakan pada Oktober nanti bukan sahaja menjadi platform meraikan pencapaian persatuan, malah akan menjadi medan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan serta meneruskan legasi nilai-nilai murni kepada generasi akan datang,” katanya.



