Guru dan pegawai yang menyertai kursus tersebut bergambar kenangan di Kundasang.
KUNDASANG: Seramai 23 orang guru dan pegawai daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai Kursus Kenegaraan Pena Naratif Madani (PENA MADANI) Kementerian Pendidikan Tahun 2026 bagi Zon Sabah yang telah diadakan di Pusat Latihan Kenegaraan, Kundasang, Sabah, baru baru ini.
Kursus selama tiga hari itu dianjurkan oleh Komuniti Pendidik Madani dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Akademi Kenegaraan Malaysia, Unit Integriti Kementerian Pendidikan dan Bahagian Profesionalisme Guru.
Kursus tersebut bertujuan memperkukuh pemahaman peserta terhadap konsep kenegaraan, integriti serta penghayatan nilai-nilai Malaysia MADANI.
Para peserta telah mengikuti pelbagai slot pengisian seperti Realiti dan Cabaran Negara, Rancangan Pendidikan Malaysia, Ancaman Manipulasi Maklumat, Integriti Guru sebagai Arkitek, Sesi Perkongsian bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Penggunaan Kecerdasan Buatan Dalam Penulisan, Video Naratif 1 Minit dan juga Latihan Penghasilan Karya.
Sepanjang kursus, para peserta didedahkan kepada pelbagai sesi perkongsian ilmu, penulisan naratif kenegaraan dan aktiviti pembangunan sahsiah yang dapat meningkatkan kesedaran tentang peranan pendidik sebagai agen penyatuan bangsa dan pembina generasi masa hadapan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pendidik yang berupaya menyampaikan naratif kenegaraan secara berkesan serta menjadi pemangkin kepada pengukuhan semangat patriotisme, perpaduan dan nilai MADANI dalam kalangan warga pendidik.
Kursus tersebut turut disertai 97 orang guru dan Pegawai Pejabat Pendidikan dari Sabah.



