ADVERTISEMENTspot_img

Penerimaan tiga pesawat tanpa pemandu (ANKA-S) perkukuh keupayaan pengawasan perairan negara

Mohamed Khaled pada majlis peluncuran aset ANKA-S di Pangkalan Udara Labuan, pada Selasa.

LABUAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencatat satu lagi sejarah penting apabila secara rasminya menerima dan mengoperasikan aset Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) Medium Altitude Long Endurance (MALE) ANKA-S di No 11 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan.

Majlis peluncuran aset tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin di sini, pada Selasa.

Hadir sama menyaksikan peristiwa bersejarah itu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Mohamed Khaled ketika bercakap pada sidang media selepas majlis peluncuran itu berkata, pengoperasian tiga pesawat tanpa pemandu ANKA-S yang ditempatkan di No 11 Skuadron TUDM Labuan itu mampu mempertingkatkan keupayaan TUDM dalam melaksanakan misi Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (ISR), serta pemantauan berterusan di kawasan strategik perairan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

Selain itu katanya, aset berkenaan juga mampu mengecam dan menjejak profil kapal secara tepat, sekali gus membolehkan TUDM merancang serta mengatur gerak aset dengan lebih efisien ke lokasi pencerobohan tanpa perlu melaksanakan rondaan tidak bersasar.

Jelas beliau lagi, tiga pesawat ANKA-S telah dibangunkan oleh sebuah syarikat dari Turki itu turut dilengkap stesen kawalan darat termasuk latihan kepada anggota selama dua tahun dengan kos keseluruhan bernilai RM423.8

“Pesawat ANKA-S mampu melakukan penerbangan melebihi 24 jam pada ketinggian operasi hingga 30,000 kaki dan ini sekaligus turut membantu mengurangkan kos operasi berbanding keperluan mengoperasikan pesawat pejuang atau kapal peronda maritim bersaiz besar bagi tujuan pemantauan.

“Ia dapat merancang dan mengatur gerak aset dengan lebih efisien, tepat ke lokasi pencerobohan tanpa perlu melakukan rondaan yang tidak bersasar ataupun rondaan buta yang membazirkan sumber dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, penerimaan aset ini turut mencerminkan komitmen berterusan TUDM dalam memperkasakan keupayaan pertahanan negara selaras dengan pelaksanaan CAP55 dan Pelan Perolehan Strategik Pertahanan Negara (PSPN).

Beliau berkata kerajaan turut bercadang untuk memperoleh tiga lagi pesawat ANKA-S menerusi fasa kedua.

Sementara itu majlis simbolik penyerahan aset telah dilaksanakan oleh Juruterbang Field Service Representative (FSR Pilot), Halil Gul
mewakili Turkish Aerospace Industries (TAI) kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM sebagai tanda penerimaan rasmi aset ANKA-S oleh TUDM.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN