ADVERTISEMENTspot_img

POLIS RANAU SARAN GUNA LALUAN ALTERNATIF, ELAK KESESAKAN TRAFIK DI RANAU DAN KUNDASANG

RANAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menasihatkan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya yang melalui daerah Ranau dan Kundasang, supaya sentiasa berhati-hati, bertimbang rasa serta merancang perjalanan lebih awal berikutan peningkatan kesesakan trafik di beberapa laluan utama kawasan berkenaan.

Dalam satu hebaan hari ini, IPD Ranau memaklumkan bahawa kesesakan lalu lintas yang berlaku terutama pada hujung minggu, musim cuti dan waktu puncak memerlukan kerjasama semua pengguna jalan raya bagi memastikan aliran trafik kekal lancar serta menjamin keselamatan awam.

Sehubungan itu, polis mengesyorkan beberapa laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di kawasan tumpuan, antaranya melalui Simpang Kibas ke Jalan Ranau-Tambunan menerusi Jalan Tanbiau Sarapong, laluan Simpang Kibas-Mohimboyon-Kundasang, serta laluan Ranau ke Kota Kinabalu melalui Jalan Ranau-Tambunan menuju Penampang.

Bagi pengguna yang datang dari Kundasang, mereka juga disaran menggunakan laluan Dumpiring, Mohimboyon dan Tanbiau Sarapong sebelum memasuki Jalan Ranau-Tambunan sebagai alternatif untuk mengelakkan kesesakan.

Menurut kenyataan itu, pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat trafik terkini melalui media sosial dan aplikasi navigasi, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan jauh.

Polis turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan lalu lintas, mengelakkan pemanduan berbahaya, tidak memotong secara melulu serta sentiasa berwaspada ketika melalui jalan berbukit dan selekoh tajam yang boleh memperlahankan aliran trafik.

Selain itu, pengguna jalan raya diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan sesuka hati di bahu jalan atau kawasan yang boleh menghalang pergerakan trafik dan menjejaskan keselamatan pengguna lain.

IPD Ranau berkata pihaknya akan terus memantau keadaan trafik dari semasa ke semasa serta menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai bagi membantu melancarkan perjalanan dan mengurangkan kesesakan.

“Kerjasama semua pihak amat dihargai demi memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan pengguna jalan raya di daerah ini,” menurut kenyataan itu.-BDB

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN