Ewon
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), Datuk Ewon Benedick mengetuai lawatan kerja kementerian itu ke Korea Selatan bagi misi perdagangan dan pelaburan.
Ewon akan mengadakan empat pertemuan berasingan dengan syarikat-syarikat daripada Korea Selatan bagi mempromosi taman-taman perindustrian di Sabah dan seterusnya membincangkan potensi pelaburan di Sabah.
Pertemuan-pertemuan tersebut diadakan di pejabat Malaysian Investment Development Authority (MIDA) di Seoul.
Ewon juga akan merasmikan Pavilion Sabah sempena dengan Seoul Food & Hotel Expo 2026 di mana MINDET menghantar lapan syarikat usahawan tempatan Sabah menyertai expo tersebut.
Ewon juga akan memenuhi jemputan SK Nexilis melawat kilang perusahaan mereka dan seterusnya mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi syarikat.
Beliau juga akan mengadakan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, HE Dato Mohd Zamruni Khalid.
Turut sama dalam lawatan kerja tersebut ialah Setiausaha Tetap MINDET, Pengurus Besar SEDCO, Ketua Pegawai Eksekutif KKIP dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah.



