PENAMPANG: Polis Daerah Penampang sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa rakaman video tular di media sosial yang memaparkan insiden pergaduhan dipercayai berlaku di kawasan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) sepanjang sambutan Pesta Kaamatan yang lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang DSP Erwansyah Abdul Basir berkata siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu.
Beliau berkata pergaduhan itu tidak melibatkan penggunaan sebarang senjata dan berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Setakat ini, beberapa individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, polis kini giat mengenal pasti semua individu yang terlibat selain mengesan saksi-saksi kejadian bagi melengkapkan siasatan.
Katanya, rakaman video yang tular turut diteliti bagi membantu proses siasatan dan tindakan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian tersebut kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam.
Polis juga meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang terlibat.



