Azizul
KOTA KINABALU: Seorang usahawan muda dari Ranau tampil menyuarakan kebimbangan berhubung isu kesesakan lalu lintas yang berlarutan di Kundasang, meskipun daerah itu diwakili dua pemimpin kanan kerajaan negeri yang memegang jawatan penting dalam pentadbiran Sabah.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, Azizul Julirin berkata Ranau seharusnya berada dalam kedudukan yang lebih baik dari segi pembangunan infrastruktur memandangkan kedua-dua wakil rakyat kawasan itu kini memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri serta menerajui portfolio strategik kerajaan negeri.
Menurut beliau, kedua-dua pemimpin berkenaan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat sejak lebih dua dekad lalu dan kini masing-masing memegang portfolio Menteri Kerja Raya dan Menteri Kewangan Sabah.
Bagaimanapun, Azizul berpendapat keadaan infrastruktur jalan raya di Kundasang masih belum mengalami perubahan ketara walaupun kawasan itu merupakan nadi ekonomi utama Ranau serta laluan penting yang menghubungkan pantai timur dan pantai barat Sabah.
“Kundasang adalah jantung utama ekonomi Ranau dan kawasan sekitarnya. Malah, ia merupakan laluan utama yang menghubungkan timur dan barat Sabah. Namun keadaan infrastruktur jalan raya di kawasan ini masih seolah-olah kekal seperti puluhan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata isu kesesakan trafik yang semakin kritikal perlu diberikan perhatian segera kerana ia bukan sahaja menjejaskan penduduk setempat, malah ribuan pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan setiap hari.
Menurutnya, pelbagai cadangan dan pandangan telah dikemukakan sejak sekian lama bagi menangani masalah tersebut, namun penyelesaian yang menyeluruh masih belum dapat direalisasikan.
Azizul turut berharap kelebihan yang dimiliki Ranau melalui pengaruh politik dan kedudukan strategik wakil rakyatnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau berkata masyarakat tempatan mengharapkan penggal pentadbiran semasa mampu membawa perubahan yang lebih nyata, khususnya dalam penyediaan kemudahan asas yang lebih baik.
“Rakyat tempatan dan pengguna jalan raya mahu merasai erti kemajuan yang sebenar, sekurang-kurangnya melalui kemudahan asas yang selayaknya dinikmati oleh masyarakat,” katanya.
Beliau menambah bahawa usaha meningkatkan infrastruktur dan mengurangkan kesesakan trafik di Kundasang penting bagi memastikan aspirasi pembangunan negeri yang digariskan menerusi slogan “Sabah Maju Jaya” dapat diterjemahkan kepada realiti yang dirasai rakyat di peringkat akar umbi.



