Datuk Redonah Bahanda
KOTA KINABALU,: Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah menyifatkan peningkatan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri itu.
Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda berkata peningkatan yang signifikan itu merupakan perkembangan positif yang mampu membantu Sabah meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, keputusan tersebut turut membuktikan pendekatan rundingan berterusan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berjaya menghasilkan manfaat yang nyata kepada negeri dan rakyat.
“Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat melihat pengumuman ini sebagai satu perkembangan yang amat positif dan membuktikan bahawa usaha rundingan yang dilaksanakan secara berterusan telah membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bayaran khas interim itu tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada hak perlembagaan Sabah yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan daripada negeri tersebut.
Sehubungan itu, katanya, Wanita Gagasan Rakyat kekal konsisten menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan pelaksanaan penuh hak 40 peratus Sabah melalui saluran perundingan yang berhemah, konstruktif dan selaras dengan semangat Persekutuan Malaysia.
Beliau berkata peningkatan bayaran interim berkenaan dijangka dapat mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan inisiatif kebajikan rakyat, khususnya melibatkan sektor bekalan air, infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan serta pembangunan luar bandar yang menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Pada masa sama, Redonah berharap peruntukan tambahan tersebut dapat dimanfaatkan secara telus, berkesan dan strategik supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat di seluruh Sabah.
“Wanita Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dalam memastikan hak Sabah terus diperjuangkan tanpa mengabaikan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Hak Sabah terus diperjuangkan, kebajikan rakyat terus diutamakan,” katanya.



