ADVERTISEMENTspot_img

SAIANIN KUASAI NETT, ANITA UNGGULI GROSS MINI CASHSWEEP AIDILADHA 2026

KENANGAN… Ajamain Dani (berdiri tengah memakai topi putih) bersama sebahagian peserta merakam gambar kenangan sebelum memulakan saingan.

RANAU: Pemain berpengalaman, Saianin Amin menampilkan aksi konsisten untuk muncul juara kategori Nett pada Kejohanan Golf Mini Cashsweep Aidiladha 2026 anjuran Pusat Khidmat Rakyat, Pejabat Parlimen P.179 Ranau yang menghimpunkan 32 pemain golf daerah ini di Pasir Putih Golf Club (PPGC) di sini pada Sabtu.

Saianin menamatkan pusingan dengan catatan nett 70 pukulan, sekali gus mencipta skor dua bawah par untuk mengungguli carta keseluruhan dan membawa pulang gelaran juara.

Persaingan merebut kedudukan podium turut berlangsung sengit apabila tiga pemain mencatatkan skor sama, iaitu 71 pukulan.

Berdasarkan pengiraan Overall Count Back (OCB), Rusdie Mahali dinobatkan sebagai naib juara, manakala Haji Amran Muntu menduduki tempat ketiga dan Rumin Jaafar di kedudukan keempat.

Mahmud Jahar pula menamatkan saingan di tempat kelima dengan 73 pukulan, sementara Mohd Jedit Sabin melengkapkan senarai enam terbaik selepas turut mencatatkan skor sama sebelum dipisahkan menerusi sistem OCB.

Dalam kategori Gross, pemain wanita Anita Silan membuktikan ketajaman permainannya apabila mencatat 80 pukulan untuk merangkul kejuaraan.

Anita berjaya mengatasi cabaran rapat daripada Deimi Yangkui@ Gopol yang mengekori rapat dengan 81 pukulan.

Muhamil Lajim menduduki tempat ketiga selepas merekodkan 82 pukulan, diikuti Haji Azmi Ahmad (83 pukulan), Haili Salim (84 pukulan) dan Mohd Shahril Saufi Mahmud yang melengkapkan kelompok enam terbaik dengan 86 pukulan.

Kejohanan yang diadakan bersempena sambutan Aidiladha itu bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti golf di daerah Ranau, malah turut menyemarakkan budaya sukan sihat serta semangat persaingan secara profesional.

Terdahulu, gimik perasmian kejohanan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ajamain Dani, Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen P.179 Ranau, yang hadir mewakili Datuk Jonathan Yasin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN