Kelihatan anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit.
PITAS: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 40 kaki dalam kejadian kemalangan jalan raya di Kampung Toliduson, Pitas, petang Khamis lalu.
Ketua Balai BBP Pitas, PBT II Noor Jali Maslah berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.42 petang melalui talian balai.
Katanya, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasir, digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.04 petang dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan yang terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung dan terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas Rescue Tool dengan bantuan dua buah jengkaut.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut” jelasnya.
Tambahnya, operasi turut melibatkan bantuan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tiga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.37 malam.
Operasi menggunakan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT).



