Kelihatan api merebak di salah sebuah rumah yang terbakar.
LAHAD DATU: Empat buah rumah dua tingkat terbakar dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Sepagaya tengah hari Khamis lalu.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 12.33 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian.
Jentera bomba yang diketuai Komander Operasi, PBK I Akbar Mohambar, tiba di lokasi pada jam 12.55 tengah hari selepas menempuh jarak kira-kira 9.7 kilometer.
Kebakaran melibatkan rumah pertama jenis separuh kekal berkeluasan 40×40 kaki terbakar 100 peratus, manakala rumah kedua jenis tidak kekal berkeluasan 30×40 kaki turut musnah sepenuhnya.
Sementara itu, rumah ketiga jenis separuh kekal dan rumah keempat jenis kekal, masing-masing berkeluasan 50×40 kaki, hanya mengalami kerosakan sekitar 10 peratus.
Operasi pemadaman bagi rumah pertama dan kedua dijalankan menggunakan sumber air pili bomba melalui pam angkut jenis GP8/5 dengan kaedah relay pumping sejauh 700 kaki ke jentera Fire Rescue Tender (FRT) sebelum disalurkan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan tiga pancutan.
Bagi rumah ketiga dan keempat pula, pasukan bomba menggunakan pam angkut GP10/10 dengan sumber air terbuka dari parit melalui satu aliran sepanjang 500 kaki serta dua pancutan.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.02 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.21 petang.
Seramai 14 anggota BBP Lahad Datu terlibat dalam operasi itu dengan bantuan beberapa aset termasuk sebuah FRT, EMRS, FRV dan kenderaan utiliti DMAX.
Turut membantu di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat petugas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.



