ADVERTISEMENTspot_img

Kaamatan pacu perpaduan dan ekonomi, Tambunan model keharmonian Sabah — Jeffrey

TAMBUNAN: Pesta Kaamatan bukan lagi sekadar sambutan budaya dan musim menuai, sebaliknya berkembang sebagai simbol perpaduan rakyat pelbagai kaum serta pemangkin ekonomi dan pelancongan negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana dan Koordinasi Kaamatan Sabah 2026, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.

Berucap merasmikan Pesta Kaamatan Daerah Tambunan di Dewan Pisompuruan kelmarin, beliau berkata tema tahun ini, “Mongomot Pisompuruan, Mamaramai Piu nungan” atau “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, amat bertepatan dengan keperluan masyarakat masa kini yang perlu terus diperkukuh dengan semangat saling menghormati dan menerima perbezaan.

“Perpaduan tidak datang dengan sendiri. Ia perlu dibina melalui sikap saling menghormati, saling membantu dan memahami antara satu sama lain,” katanya yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan.

Menurut Jeffrey, Tambunan sejak dahulu terkenal sebagai daerah yang kuat dengan semangat perpaduan walaupun pernah melalui sejarah perselisihan dalam kalangan kelompok masyarakat sebelum akhirnya diselesaikan secara damai, yang kini diabadikan menerusi tugu peringatan di perkarangan Dewan Pisompuruan.

Beliau berkata Kaamatan kini turut memainkan peranan penting sebagai platform ekonomi dan pelancongan melalui promosi budaya, makanan tradisi, kraftangan serta produk tempatan yang membantu memperkenalkan identiti Sabah kepada generasi muda dan pelawat luar.

Katanya, sambutan Kaamatan di Tambunan dianggarkan menjana kira-kira RM2 juta dalam putaran ekonomi tempatan, manakala di peringkat negeri mampu menyumbang sehingga RM560 juta berdasarkan kesan gandaan ekonomi.

Jeffrey turut melahirkan rasa bangga apabila Kaamatan kini diraikan bukan sahaja di Sabah dan Malaysia, malah berkembang ke peringkat antarabangsa termasuk di New Zealand, United Kingdom dan Australia.

Sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), beliau berkata Tambunan memiliki potensi besar dalam sektor pelancongan dan ekonomi komuniti menerusi keunikan alam semula jadi, budaya serta produk tempatan.

Menurutnya, pelbagai projek pembangunan akan terus diperkasa termasuk penambahbaikan jalan luar bandar, kemudahan asas kampung, fasiliti pelancongan dan infrastruktur pertanian, selain memberi perhatian terhadap pembangunan belia, pendidikan dan peluang ekonomi masyarakat.

Beliau berkata wakil rakyat juga akan meneruskan pemberian anugerah kecemerlangan kepada pelajar dan belia yang mencapai kejayaan setiap tahun sebagai usaha menggalakkan generasi muda terus cemerlang.

Jeffrey turut mengajak orang ramai melawat rumah-rumah tradisi di mukim sekitar Tambunan bagi merasai sendiri suasana Kaamatan yang masih mengekalkan adat dan budaya warisan nenek moyang.

Antara lokasi pelancongan yang diketengahkan termasuk Pusat Penerangan Rafflesia, Air Terjun Mahua, Kawang-Kawang Canyon serta Stesen Pemerhatian Burung di Alab dan Trusmadi.

Beliau berharap sambutan Kaamatan akan terus menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim masyarakat selaras dengan tema sambutan tahun ini, “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN