Jurry bersama mahasiswa dan pengusaha taska
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar menganjurkan program UMS-SPRINT: SDG-ESG “Si Cilik Akuaponik” di Taska Jasaku Luyang sebagai usaha memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
Program berimpak tinggi yang dilaksanakan mahasiswa UMSFLEC di bawah bimbingan jurulatih, Suhaimie Sahabuddin itu turut bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepentingan khidmat komuniti serta peranan institusi pengajian tinggi dalam memperkasakan masyarakat.
Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar UMS, Dr. Jurry Foo berkata, aktiviti berkonsepkan akuaponik merupakan pendekatan pendidikan awal yang kreatif dan interaktif bagi membentuk kesedaran terhadap amalan hijau dan kehidupan lestari.
Beliau berkata, pendekatan pembelajaran secara santai dan menyeronokkan mampu membantu perkembangan kreativiti, kemahiran motor, komunikasi serta keyakinan diri kanak-kanak.
“Kanak-kanak merupakan pewaris masa depan negara. Oleh itu, pendidikan awal berkaitan penjagaan alam sekitar perlu diterapkan sejak kecil agar mereka lebih menghargai kepentingan kelestarian hidup,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Pengalaman petani cilik
Program itu dikendalikan bersama mahasiswa UMSFLEC yang majoritinya mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan perikanan, selain mendapat kerjasama guru-guru Taska Jasaku Luyang di bawah bimbingan Chin Yin Loong dan Daimi Laus.
Dalam pada itu, UMS berharap lebih banyak program berteraskan komuniti dan pendidikan kelestarian dapat diperluaskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Sebagai institusi yang dikenali sebagai “The Brain of Borneo”, UMS komited meneruskan tanggungjawab sosialnya dalam melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.



