ADVERTISEMENTspot_img

Hargai Tanah dan Hasil Pertanian Demi Kelangsungan Warisan Sabah

JOACHIM Bersama tetamu jemputan lain menuai padi sebagai simbolik perasmian majlis.

KOTA KINABALU: Masyarakat diseru agar sentiasa menghargai tanah serta hasil pertanian yang menjadi sumber kehidupan ramai rakyat di negeri ini, khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar yang bergantung kepada sektor pertanian untuk meneruskan kehidupan.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya Dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata, walaupun tidak semua masyarakat terlibat secara langsung dalam bidang pertanian, sektor tersebut tetap memainkan peranan penting dalam menjamin kelangsungan hidup rakyat serta kestabilan ekonomi negeri.

“Mungkin kita tidak bertani, tetapi ada dalam kalangan masyarakat kita yang hidup bertani demi kelangsungan hidup mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat KDCA Kapayan 2026, di Monstera Hall, De Borneo Waterpark Kepayan, sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Penyelaras KDCA Kapayan merangkap Ahli Majlis Tertinggi KDCA Pusat, Prof Ts. Jude Abel Logijin, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin, Setiausaha Agung KDCA Pusat, Datuk Suman Yasambun, dan Naib Presiden KDCA Pusat, Datuk John Chrysto Masabal.

Katanya, semangat menghargai budaya, perpaduan dan hasil bumi negeri perlu terus dipupuk agar Sabah kekal sebagai sebuah negeri yang harmoni, makmur dan kaya dengan warisan tradisi.

Beliau turut mengajak masyarakat agar mengambil peluang sempena sambutan Pesta Kaamatan untuk menghormati serta menghargai kepelbagaian budaya, bangsa dan agama yang menjadi identiti unik negeri ini.

“Hormatilah kepelbagaian yang menjadi keunikan kita di Sabah. Kita sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan mana-mana kaum lain, termasuk mereka yang bukan dalam kalangan kaum KDMR,” katanya.

Menurut beliau, persamaan antara kaum di Sabah dapat dilihat melalui pelbagai aspek budaya dan tradisi termasuk penggunaan alat muzik tradisional seperti gong yang sinonim dalam kebanyakan masyarakat di negeri ini.

“Contohnya dari segi peralatan muziknya, rata-rata kaum menggunakan alat muzik gong,” katanya.

Selain itu, katanya, kekayaan budaya yang dimiliki Sabah juga mempunyai potensi besar dalam memperkukuhkan industri pelancongan negeri, terutama sepanjang sambutan Pesta Kaamatan yang menjadi antara acara utama tahunan di Sabah.

“Kaamatan merupakan ‘main event’ untuk menggalakkan pelancong datang ke Sabah,” katanya lagi.-Ateng

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN