RANAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang digelar “King Kong” selepas dipercayai bertindak mengejar anak buahnya menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Wakaku, dekat sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 32 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori sawit dikatakan sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah.
Ketika melalui jalan di hadapan rumah bapa saudaranya, mangsa mendakwa secara tiba-tiba dikejar suspek yang bersenjatakan parang.
Menurut mangsa, suspek dipercayai tidak berpuas hati terhadap sesiapa sahaja yang melalui kawasan hadapan rumahnya walaupun jalan berkenaan merupakan laluan utama yang boleh digunakan orang awam.
Akibat kejadian itu, mangsa berasa takut dan terus beredar dari lokasi kejadian sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Mangsa dikatakan memohon bantuan pihak polis untuk memanggil suspek bagi tujuan kaunseling memandangkan tindakan sama didakwa turut berlaku terhadap individu lain.
Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ranau berjaya menahan suspek serta merampas sebilah parang berserta sarung berukuran kira-kira 58 sentimeter yang ditemukan tergantung pada tiang beranda sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.
Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Ranau untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Permohonan reman dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan rakaman percakapan suspek mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



