LAHAD DATU: Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) memperluaskan Dana Khas Usahawan Sabah kepada sektor koperasi bermula tahun ini bagi memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, sebelum ini dana khas berjumlah RM1 juta itu hanya disalurkan kepada usahawan, namun kini koperasi turut layak menerima bantuan modal menerusi inisiatif berkenaan.
“Selama ini dana ini disalurkan kepada usahawan dan tidak pernah diberikan kepada koperasi, tetapi dekatnya koperasi itu kepada saya maka bermula tahun ini koperasi juga layak menerima dana itu untuk bantuan modal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Jualan Madani dan kunjungan ke Koperasi Keluarga Haji Sari Lahad Datu Berhad, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, perkembangan sektor koperasi di Sabah ketika ini amat memberangsangkan apabila jumlah koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meningkat daripada sekitar 1,600 pada penghujung 2022 kepada lebih 2,000 buah ketika ini.
“Perolehan koperasi di Sabah juga meningkat daripada sekitar RM400 juta kepada lebih RM900 juta pada tahun 2025, hampir mencecah RM1 bilion.
“Ini menunjukkan hasil usaha bersama kerajaan, SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMA) serta pemimpin-pemimpin koperasi dalam memperkukuh sektor ini,” katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak koperasi dari Sabah dapat menyertai kelompok koperasi terbaik di negara ini selepas enam koperasi dari negeri ini berjaya tersenarai dalam 100 koperasi terbaik Malaysia tahun lalu.
Dalam pada itu, Ewon berkata, ketika menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Sabah bagi menyediakan 35 biasiswa kepada warga Sabah melanjutkan pengajian diploma dan ijazah sarjana muda di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
Katanya, setakat ini seramai 17 pelajar dari Sabah sedang melanjutkan pengajian di universiti berkenaan dan masih terdapat kuota yang boleh direbut oleh anak-anak Sabah.
Sempena lawatan itu, beliau turut melancarkan Program Jualan Madani Koperasi (JMK) anjuran SKM serta menyampaikan sumbangan RM5,000 bagi menjayakan program tersebut.
Sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Sabah, beliau berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk SKM dan IKMA bagi memperluaskan lagi program bantuan kepada koperasi di Sabah.
Sementara itu, Ewon turut merasmikan Premis Tamu Desa Tawaiyari Ulu Segama yang dibina melalui peruntukan KUSKOP tahun lalu.
Beliau berkata, tamu yang diadakan setiap Sabtu itu memberi manfaat kepada penduduk dari 10 kampung di kawasan berkenaan.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Jawatankuasa Tamu Desa bagi menambah kemudahan yang diperlukan selain RM5,000 kepada Gereja Roh Kudus Kampung Pandising untuk pembelian kelengkapan serta sumbangan bakul makanan kepada warga emas.



