ADVERTISEMENTspot_img

Di Sebalik Penglihatan Kabur, Alexzander Lakar Kejayaan SPM Cemerlang

Alexzander (kanan) dan bapanya, Panis.

KOTA KINABALU : Kekurangan penglihatan bukan penghalang buat seorang pelajar dari Keningau, Alexzander Dinus untuk mencipta kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila memperoleh keputusan 8A.


Alexzander, 18, berkata masalah saraf pada mata dan otak menyebabkan penglihatannya kabur sejak kecil, namun keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar.  
“Kadang-kadang saya nampak tiga. Kalau cikgu tulis di depan, saya susah nampak.

“Setiap hari saya belajar dengan meminta bantuan guru dan rakan-rakan. Kadang-kadang walaupun cikgu menulis, saya tetap tidak dapat melihat dengan jelas.

“Tapi oleh sebab cikgu kami yang baik hati, mereka sabar ajar sampai saya faham,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan SPM dan STAM 2025 yang diadakan di sini, pada Khamis.


Anak sulung daripada lima beradik itu berkata kejayaan yang diraih menjadi pembakar semangat untuk mengejar cita-citanya sebagai pendidik dan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Saya mahu jadi guru yang cemerlang untuk melahirkan pelajar cemerlang. Saya akan berusaha, mahu bersaing dengan pelajar-pelajar biasa.


“Nasihat saya kepada yang senasib dengan saya, jangan putus asa. Kita mungkin ada kekurangan, tapi itu bukan bermaksud kita lemah,” jelasnya.
Sementara itu, bapanya, Panis Guntalib berkata keluarga menerima keadaan Alexzander selepas pelbagai usaha mendapatkan rawatan dilakukan sejak kecil.

“Sekarang kami terima takdir dan apa yang penting dia terus belajar serta yakin dengan diri sendiri.

“Kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa seperti ini, teruslah beri sokongan dan semangat kepada mereka,” ujarnya.


Pada majlis sama, seorang lagi penerima anugerah, Muhammad Zahin Asyraaf Irwan yang turut memperoleh 8A dalam SPM berkata, disiplin dan pengurusan masa menjadi kunci kejayaannya.

Katanya, walaupun aktif dalam sukan dan kegiatan kokurikulum, beliau tetap memastikan masa belajar diurus dengan baik.

“Saya mewakili sekolah dalam bola sepak, olahraga dan merentas desa. Saya juga menyertai pertandingan Qiraatus Sabie Bit Tarannum, dia macam kita bertarannum dan ada pelbagai jenis bacaan.

“Tips yang boleh saya kongsi antaranya bila kita belajar, jauhkan diri dari perkara yang boleh mengganggu contoh telefon bimbit dan kita mesti rancang masa dengan baik supaya pembelajaran lebih efektif,” tambahnya.

Sama seperti Alexzander, Zahin turut bercita-cita ingin menjadi guru dan merancang untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan selepas ini./Oleh: Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN