ADVERTISEMENTspot_img

Kaamatan Ranau 2026 Himpun Ribuan Pengunjung, Perpaduan Jadi Teras Sambutan

SIMBOLIK… Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (kedua kiri) bersama para jemputan melakukan acara ‘Mongomot Parai’ (menuai padi) sebagai simbolik perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau 2026 di Dewan Masyarakat Ranau, pada Sabtu.

Oleh: Salwah Aramat

RANAU: Ribuan penduduk tempatan membanjiri Dewan Masyarakat Ranau hari ini bagi memeriahkan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh warna-warni dan semangat perpaduan.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Turut hadir memeriahkan sambutan ialah Ratu Unduk Ngadau 2025, para pemenang pertandingan Kaamatan, pemimpin masyarakat serta barisan pemimpin terdahulu dan semasa.

Antara kenamaan yang hadir ialah Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, ADUN Paginatan Datuk Rusdin Riman, wakil kepada Datuk Dr Joachim Gunsalam, Datuk Arthur Tsen, Pengerusi Jetama yang juga mantan ADUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir serta para penaja dan pemimpin masyarakat setempat.

Dalam ucapannya, Masidi berkata Pesta Kaamatan bukan sekadar sambutan budaya masyarakat tertentu, sebaliknya menjadi simbol perpaduan yang merentasi pelbagai kaum, agama dan latar belakang masyarakat di Sabah.

Beliau berkata sambutan itu bukan sahaja memperingati hasil tuaian padi, malah melambangkan kekuatan budaya, keharmonian masyarakat dan identiti rakyat Sabah.

“Tema sambutan tahun ini, ‘Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’, amat bertepatan dengan semangat yang ingin kita semarakkan dalam kalangan rakyat.

“Hasil tuaian paling berharga bagi kita di Sabah ialah keutuhan perpaduan yang menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri ini,” katanya.

Masidi berkata sebagai wakil rakyat kawasan Karanaan, beliau berbangga melihat masyarakat Ranau terus memainkan peranan aktif dalam mempertahankan dan memartabatkan warisan budaya tempatan.

Menurutnya, Ranau yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya sentiasa menjadi contoh keharmonian dalam masyarakat majmuk.

Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh pembangunan infrastruktur secara saksama khususnya di daerah Ranau.

Katanya, pembangunan inklusif penting dalam menyokong sektor pelancongan budaya dan ekonomi setempat agar nilai tradisi yang dipaparkan menerusi Kaamatan terus dipelihara serta dimanfaatkan generasi akan datang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Ranau 2026 serta semua pihak yang terlibat menjayakan sambutan itu.

“Semoga Pesta Kaamatan tahun ini membawa kemeriahan, kesejahteraan dan pengertian yang mendalam kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ranau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau 2026, Tinus Manggam berkata pesta berkenaan bukan sahaja warisan budaya unik masyarakat Kadazandusun Murut Rungus (KDMR), malah menjadi platform menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan.

Beliau berkata tema sambutan tahun ini membawa mesej mendalam mengenai pentingnya memupuk perpaduan yang telah lama disemai dalam kalangan masyarakat.

“Di Ranau, keharmonian antara pelbagai etnik dan kepercayaan merupakan hasil paling bernilai untuk diraikan dan dipelihara demi masa depan generasi akan datang.

“Ranau dengan keindahan panoramanya, keunikan adat serta kerencaman etnik menjadi cerminan sebenar keharmonian dalam kepelbagaian,” katanya.

Tinus berkata semangat gotong-royong dan kerjasama erat masyarakat menjadi kunci kejayaan sambutan Kaamatan peringkat daerah saban tahun.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana, pemimpin masyarakat, penaja dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan itu.

“Tanpa komitmen dan kerjasama semua pihak, acara ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN