KUNJUNGAN HORMAT …. Joachim (kiri) menerima cendera kenangan daripada rombongan CTS Horizon Sdn. Bhd.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, menerima kunjungan hormat daripada pengurusan CTS Horizon Sdn. Bhd, di pejabat Menteri KKRU, dekat sini, hari ini.
Kunjungan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Zurinah Datuk Hanafiah, itu, diadakan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat itu dalam menyokong agenda pembangunan digital dan keterhubungan di Sabah, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sabah ke arah Wilayah yang lebih moden, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan digital.
Dalam kunjungan itu, CTS Horizon turut membentangkan latar belakang syarikat termasuk perkhidmatan yang ditawarkan, kekuatan rangkaian dan keupayaan teknikal, selain memperkenalkan visi baharu syarikat dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur digital di Sabah.
Turut dikongsikan ialah perkembangan beberapa projek utama yang sedang dan telah berjaya dilaksanakan, termasuk peranan CTS Horizon sebagai rakan fiber backhaul bagi projek 5G U Mobile, selain penglibatan dalam inisiatif FTTx, JENDELA dan POP2 yang bertujuan memperluas capaian internet serta meningkatkan akses digital khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
Pertemuan itu juga menjadi platform bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkasakan ekosistem digital negeri, termasuk usaha memperluas liputan rangkaian komunikasi dan mempertingkat kemudahan infrastruktur telekomunikasi.
Sementara itu, Dr Joachim menyambut baik usaha sektor swasta dalam membantu mempercepat pembangunan digital Sabah, sejajar dengan fokus Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat menikmati akses internet, teknologi komunikasi yang lebih baik dan menyeluruh.
Turut hadir Head of Business Development, Aines Ajik, Head of Planning & Design (Network), Sheridan Hans Peter, dan Head of Human Resources, Natasha Assan.
Kunjungan hormat tersebut sekali gus memperlihatkan komitmen CTS Horizon dalam menyokong visi Kerajaan Negeri ke arah Sabah yang lebih berhubung, diperkasa secara digital dan bersedia menghadapi cabaran masa depan._Ateng



