Suhaili (tiga kanan) menerima cenderamata daripada Prof. Dr. Shamsul Bahari diperhatikan Dr Geoffrey (kiri), Ken Kamal (kanan) dan Raja Mohamad Shahadan
LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), melalui Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), melancarkan ISRA Corner dalam satu langkah strategik yang menandakan permulaan kepada pembangunan ekosistem Industri dalam Kampus (IoC) bagi kewangan Islam di Labuan.
ISRA Corner yang menggabungkan kepakaran akademia, industri dan institusi penyelidikan global bagi memperkasa pembangunan bakat serta meningkatkan kerelevanan industri.
Majlis pelancaran ISRA Corner sumbangan daripada CIMB Islamic Bank kepada FKAL disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labuan, Dato’ Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman diadakan di Bilik Eureka, Bangunan Menara UMSKAL.
Dr. Suhaili menyifatkan inisiatif ini sebagai platform dinamik bagi perkongsian ilmu, pembangunan penyelidikan serta penglibatan industri yang mampu mengangkat Labuan sebagai hab kewangan Islam serantau.
Sememtara itu, Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, sambil menegaskan bahawa kerjasama sebegini amat penting dalam memperkukuh hubungan akademia–industri serta memajukan pembangunan bakat di peringkat nasional dan serantau.
Beliau berkata inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan inovasi kurikulum, kerjasama penyelidikan dan kebolehpasaran graduan, di samping meletakkan UMSKAL sebagai pemain utama dalam pendidikan kewangan Islam di rantau Borneo.
Ketua Pegawai Kewangan INCEIF University,Raja Mohamad Shahadan Raja Mohamed, berkata kedudukan global institusi berkenaan yang diiktiraf sebagai No. 1 dunia dalam Pendidikan Kewangan Islam oleh Salaam Gateway 2026, selain memiliki akreditasi AACSB yang meletakkannya dalam enam peratus teratas sekolah perniagaan di dunia.
Beliau berkata pengiktirafan ini mencerminkan kepentingan integrasi antara kandungan akademik berkualiti tinggi dengan pembelajaran berteraskan industri bagi melahirkan graduan berdaya saing global.
Sementara itu, Ketua Serantau Kewangan Sosial dan Inisiatif Korporat di CIMB Islamic Bank, Ken Kamal, berkata peranan CIMB Islamic sebagai rakan strategik industri dan penaja utama adalah untuk merapatkan jurang antara teori akademik dan aplikasi industri sebenar.
Katanya, kerjasama erat antara universiti dan pemain industri amat penting bagi memastikan pelajar dilengkapi dengan kemahiran praktikal yang sejajar dengan keperluan industri semasa.
Jelasnya, pembangunan ISRA Corner melibatkan pelaburan kira-kira RM70,000, yang disokong sepenuhnya oleh CIMB Islamic, sebagai tanda komitmen bank berkenaan dalam memperkasa pendidikan kewangan Islam serta memperkukuh integrasi antara industri dan akademia di rantau ini.
Tamat.
Gambar:
1 .Suhaili (tiga kanan) menerima cenderamata daripada Prof. Dr. Shamsul Bahari diperhatikan Dr Geoffrey (kiri), Ken Kamal (kanan) dan Raja Mohamad Shahadan
- Suhaili (lima kiri), Prof. Dr. Shamsul Bahari (tiga kanan) Dr Geoffrey (tiga kiri), Ken Kamal (dua kanan) dan Raja Mohamad Shahadan (empat kanan) pada majlis pelancaran ISRA Corner.



