RANAU: Helah segelintir pemandu yang cuba melanggar peraturan dengan memotong di garisan berkembar di Jalan Ranau–Tamparuli tidak lagi terlepas daripada penguatkuasaan apabila kegiatan itu berjaya dikesan melalui penggunaan dron dalam Op Didik, semalam.
Operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau itu dijalankan di Kilometer 3 dan Kilometer 9 dengan penempatan anggota di dua lokasi berasingan bagi memastikan pemantauan trafik dilakukan secara menyeluruh dan berkesan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata teknologi dron yang digunakan membolehkan pihak polis mendapatkan gambaran udara secara masa nyata, sekali gus memperkukuh keupayaan pengesanan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Beliau berkata antara kesalahan utama yang dikenal pasti termasuk memotong di garisan berkembar, melanggar peraturan jalan raya serta pemanduan berbahaya yang boleh mengundang risiko kemalangan.
“Hasil operasi berkenaan, sebanyak lima saman telah dikeluarkan atas kesalahan memotong di garisan berkembar yang boleh dikompaun sehingga RM300,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kesalahan itu juga boleh dikenakan tindakan lebih tegas di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan operasi berkenaan bertujuan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya khususnya yang melibatkan kehilangan nyawa, di samping meningkatkan kesedaran pengguna agar sentiasa mematuhi undang-undang.
“Melalui Op Didik, kita menekankan konsep perhati, tegur dan ubah sikap bagi memastikan pengguna jalan raya lebih berdisiplin serta bertanggungjawab ketika memandu,” katanya.



