ADVERTISEMENTspot_img

Teruskan berkhidmat, perkukuh sektor agromakanan Sabah – Jamawi

Jamawi (tengah) bergambar kenangan ketika melawat gerai makanan Jabatan Perikanan.

KOTA KINABALU: Warga Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan diseru agar terus bekerja keras dan berkhidmat kepada masyarakat dalam usaha memperkukuh pembangunan sektor agromakanan negeri.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, komitmen berterusan daripada semua peringkat jabatan dan agensi amat penting bagi memastikan segala perancangan yang dirangka dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar di peringkat akar umbi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kementerian itu di Dewan Serbaguna, Wisma Pertanian, di sini, hari ini.

Jamawi berkata, kejayaan yang dicapai setakat ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga kementerian termasuk Setiausaha Tetap, timbalan, ketua jabatan serta agensi di bawahnya.

“Saya bersyukur kerana segala usaha kita dipermudahkan oleh Tuhan Yang Maha Esa dan amat menghargai sokongan semua pihak yang terus komited memajukan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah,” katanya.

Jamawi turut mengingatkan bahawa peranan kementerian bukan sekadar merancang dasar, tetapi memastikan pelaksanaan program benar-benar memberi impak kepada masyarakat khususnya golongan petani, nelayan dan penternak.

“Maksudnya tugas tuan-tuan sebagai pengarah, ketua agensi dan pengurus pusat adalah memastikan apa yang kita rancang dapat dilaksanakan dengan baik demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha berterusan perlu diperkukuh melalui kerjasama erat dengan semua kumpulan sasar dalam sektor agromakanan.

“Teruskan kerja kuat, teruskan bersama masyarakat, bersama petani, nelayan, penternak dan semua pengusaha dalam sektor ini,” katanya.

Jamawi berkata, pendekatan turun padang dan memahami keperluan sebenar golongan sasar perlu menjadi amalan berterusan bagi memastikan dasar yang digubal kekal relevan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat menjayakan majlis berkenaan, termasuk penyediaan juadah yang disifatkannya sebagai terbaik.

“Walaupun ada pertandingan, bagi saya semua adalah pemenang kerana setiap agensi telah memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau juga berkongsi bahawa pemberian sumbangan sempena Aidilfitri kepada warga kementerian telah menjadi amalan peribadi sejak beliau berkhidmat dalam sektor pertanian sejak 1987.

Katanya, walaupun sumbangan itu tidak seberapa, ia adalah tanda ingatan dan penghargaan kepada semua yang telah bertungkus-lumus menjalankan tugas.

Jamawi turut menyentuh mengenai kepentingan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kementerian bagi memperkukuh semangat kerja berpasukan.

Beliau berharap seluruh warga kementerian akan terus maju dan bersatu dalam mencapai matlamat pembangunan sektor agromakanan Sabah.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga kita semua terus maju dengan matlamat yang telah ditetapkan,” katanya.

Hadir sama, Pembantu Menteri MAFFI I dan II, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; Pengerusi-Pengerusi Agensi di bawah MAFFI dan Ketua-ketua Jabatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN