PENGHARGAAN……..Nevillee menyampaikan Jersi Kinabalu Titans Football Club kepada Jonathan (dua kiri) disaksikan para jemputan lain.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Program Karnival Bola Sepak Bawah 14 Tahun (U14) Tertutup Sabah yang dianjurkan sempena perasmian Kinabalu Titans Football Club telah berlangsung di padang Pai Wen di sini, dengan penuh meriah, sekali gus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat muda bola sepak di negeri ini, baru-baru ini.
Majlis perasmian karnival tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang turut menyatakan sokongan padu terhadap usaha pembangunan sukan akar umbi, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dalam suasana penuh semangat kesukanan, sebanyak 10 pasukan telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini, terdiri daripada Jubilo FC, Sunflower, Kinabalu Titans Premier, AFJ, Kinabalu Titans Super, Laba FC, Tabs, Bongkud FC, Old KK dan KTFC.
Penyertaan pelbagai pasukan dari sekitar Sabah ini jelas memperlihatkan minat yang tinggi terhadap sukan bola sepak dalam kalangan remaja, selain membuka ruang persaingan sihat dan pengalaman berharga kepada para pemain muda.
Program ini turut dihadiri Presiden Kinabalu Titans Football Club, Nevillee Macklin yang juga merupakan jurulatih berpengalaman, serta Presiden Kelab Bola Sepak Clasico Ranau, Romzie Mohammad yang sentiasa komited dalam pembangunan bola sepak di peringkat komuniti.
Selain itu, kehadiran sebahagian kakitangan Pejabat Parlimen Ranau turut memeriahkan lagi program, sekali gus menunjukkan sokongan berterusan terhadap penganjuran aktiviti sukan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Karnival ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah berperanan sebagai platform pembentukan sahsiah, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta yang terlibat.
Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu mengharumkan nama Sabah dan negara di persada sukan bola sepak.



