ADVERTISEMENTspot_img

RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PARLIMEN RANAU SATUKAN KOMUNITI, PERKUKUH SILATURAHIM

Ajamain

RANAU: Penduduk sekitar Parlimen P.179 Ranau bakal disatukan dalam suasana penuh kemeriahan dan keharmonian menerusi penganjuran Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026M/1446H yang dijadual berlangsung pada 11 April ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.179 Ranau dengan kerjasama Biro Hal Ehwal Islam Parlimen berkenaan, Kelab Prihatin Ranau Sabah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melibatkan 10 kampung di Mukim Randagong itu akan diadakan di Mini Dewan Kampung Randagong Lama, bermula 11.30 pagi hingga 2 petang.

Pengerusi penganjur, Ajamain Dani, berkata penganjuran rumah terbuka itu bukan sekadar medan sambutan perayaan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

“Program ini memberi peluang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk berkumpul, berinteraksi secara santai dan menikmati kemeriahan Aidilfitri dalam suasana penuh muhibah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, program berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau dalam mendekati rakyat serta memperkukuhkan jaringan sosial dalam komuniti.

Dalam pada itu, Ajamain berkata penganjuran program berkenaan juga diharap dapat menyemai nilai kebersamaan, selain menggalakkan budaya gotong-royong dan kerjasama dalam kalangan penduduk.

Sambutan kali ini mengangkat tema “Raikan Perjalanan Menuju Keredaan” serta “Kongsi Raya, Kongsi Rasa, Kongsi Rezeki”, yang mencerminkan semangat keprihatinan dan perkongsian rezeki dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di Parlimen Ranau dijemput hadir bagi memeriahkan majlis tersebut, sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim dalam suasana Aidilfitri yang penuh harmoni- Oleh Salwah Aramat

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN