KENANGAN — Para penduduk Kampung Kinandusan bersama kakitangan Pejabat Parlimen Ranau merakam gambar kenangan bersama Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin (tujuh kanan) sempena Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Masjid Ukhuwah Kampung Kinandusan, Ranau.
RANAU: Suasana penuh santai dan kebersamaan jelas terasa apabila penduduk Kampung Kinandusan menghadiri Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Masjid Ukhuwah kampung berkenaan, baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang meluangkan masa bersama rombongan kakitangannya untuk berbuka puasa dan beramah mesra dengan penduduk setempat sempena bulan Ramadan.
Ketibaan beliau disambut mesra oleh jawatankuasa masjid serta penduduk kampung yang hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum para hadirin menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan secara gotong-royong oleh penduduk kampung.
Pelbagai hidangan ringkas disajikan sebagai santapan berbuka puasa, sekali gus menambahkan kemeriahan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat yang hadir.
Program seumpama itu bukan sahaja menjadi platform merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah turut memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat.
Majlis berakhir dengan solat Maghrib berjemaah di masjid berkenaan. –Oleh: Salwah Aramat



