ADVERTISEMENTspot_img

IDS Sabah Agih Lebih 20,000 Pek “Hero Meals” Kepada Mangsa Banjir di Tujuh Daerah

Penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir.

KOTA KINABALU : Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) melalui inisiatif Disaster Monitoring Hub (D-Hub) telah menggerakkan misi bantuan kemanusiaan bagi membantu komuniti yang terjejas akibat banjir di beberapa daerah di Sabah termasuk Paitan, Pitas, Sook, Beaufort, Membakut, Sipitang dan Tenom.

Setakat ini, sebanyak 20,440 pek makanan sedia dimakan (ready-to-eat meal) bersama air minuman telah berjaya diagihkan kepada mangsa banjir melalui penyelarasan pasukan di lapangan serta kerjasama rakan strategik.

Bagi fasa terkini, bantuan telah disalurkan ke empat daerah iaitu Beaufort (520 penerima), Membakut (520 penerima), Sipitang (520 penerima) dan Tenom (600 penerima). Agihan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan IDS bagi memastikan bantuan sampai kepada komuniti yang memerlukan secara tersusun, cepat dan berkesan.

Sebelum ini, agihan turut dilaksanakan di beberapa daerah lain termasuk Keningau, Telupid, Pitas, Sook dan Kota Marudu, selaras dengan komitmen IDS dalam memperluaskan jaringan bantuan kepada kawasan yang terjejas.

Bantuan yang dikenali sebagai “Hero Meals” ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) IDS bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara, khususnya ketika berdepan situasi bencana alam.

Program ini dilaksanakan dengan sokongan strategik Kembara Kitchen sebagai penyedia makanan serta CIMB Foundation sebagai rakan penyumbang yang bersama-sama menjayakan usaha kemanusiaan ini.

Melalui kerjasama tersebut, pek makanan sedia dimakan telah diagihkan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta kawasan-kawasan yang terjejas bagi membantu meringankan beban mereka, khususnya dalam memastikan akses kepada makanan yang selamat, berkhasiat dan mudah disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts. Dr Ramzah Dambul, berkata inisiatif D-Hub bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pemantauan bencana, malah turut berperanan sebagai platform penyelarasan respons bantuan secara lebih sistematik dan berimpak.

Menurut beliau, usaha ini selaras dengan komitmen IDS dalam menyokong pembangunan sosial serta memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya dalam situasi kecemasan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan misi bantuan tersebut, serta berharap lebih banyak pihak akan tampil berganding bahu memperkukuh kesiapsiagaan bencana pada masa hadapan.

Sehubungan itu, IDS turut mengalu-alukan sumbangan tambahan daripada orang ramai dan pihak korporat dalam bentuk keperluan asas seperti lampin bayi, susu bayi dan tuala wanita yang amat diperlukan oleh mangsa banjir khususnya golongan bayi, kanak-kanak dan wanita di pusat pemindahan sementara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN