KENINGAU,:Suasana Ramadan di pedalaman Keningau terus disemarakkan apabila penduduk Kampung Merampong berkumpul dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Sr. Mohd Ishak Ayub, di Masjid Riyadhus Solihin, petang kelmarin.
Majlis yang dihadiri penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, belia dan kanak-kanak itu berlangsung dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan.
Kehadiran Mohd Ishak turut menceriakan majlis apabila beliau meluangkan masa menyantuni penduduk kampung, bersalaman serta berbual mesra dengan masyarakat setempat sebelum bersama-sama menunggu waktu berbuka puasa.
Bagi masyarakat pedalaman, program seumpama itu bukan sahaja memeriahkan Ramadan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan dalam komuniti.
Selain itu, majlis berkenaan turut memberi peluang kepada penduduk kampung berinteraksi secara santai dengan pemimpin kawasan sambil berkongsi pandangan mengenai perkembangan dan keperluan komuniti setempat.
Penduduk kampung menyambut baik penganjuran program tersebut yang disifatkan mampu merapatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat di kawasan pedalaman.



