Azizah menyampai sumbangan kepada golongan asnaf.
TUARAN: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkukuh komitmen kebajikan kepada masyarakat melalui penganjuran Program Penyerahan Bakul Makanan kepada golongan asnaf sempena bulan Ramadan, yang melibatkan kawasan Parlimen Kota Belud dan Tuaran.
Program tersebut telah diadakan di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Tuaran dan disempurnakan oleh Ketua Wanita GRS Sabah, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, yang turut menyampaikan bakul makanan kepada para penerima.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Wanita PCS, Simi Linggom, Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait, Penolong Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun, Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot, Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS Julia ABT, serta Penyelaras Wanita GRS Parlimen Kota Belud,Nurul Fadzilah Noordin dan Penyelaras Wanita GRS Parlimen Tuaran Datuk Hajah Jamaliah Antalip bersama EXCO Wanita GRS.
Program ini turut disertai oleh penyelaras-penyelaras Wanita GRS di peringkat DUN serta ahli-ahli Wanita GRS dari kedua-dua kawasan Parlimen.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun menegaskan bahawa kepimpinan wanita bukan sahaja perlu kuat dari segi organisasi, tetapi juga perlu berteraskan nilai kasih sayang, empati serta semangat kebersamaan dalam mendekati masyarakat yang memerlukan.
Beliau turut menyatakan bahawa bulan Ramadan merupakan waktu terbaik untuk memperkukuhkan amalan kebajikan serta mengeratkan hubungan sesama masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Inisiatif seperti ini bukan sekadar membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, tetapi juga memperkukuhkan semangat perpaduan serta memperluaskan peranan Wanita GRS dalam mendekati masyarakat,” katanya.
Program tersebut berlangsung dengan lancar dan penuh semangat kebersamaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Wanita GRS dalam melaksanakan aktiviti kebajikan dan memperkukuhkan perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).



