ADVERTISEMENTspot_img

Lebih 2,000 Penduduk Meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Ranau

SANTUN — Seorang warga emas berjabat tangan sambil menerima ang pow yang disampaikan oleh Datin Helena, diiringi Tuan Piheng, pada majlis berkenaan.

RANAU: Lebih 2,000 penduduk membanjiri Dewan Masyarakat Ranau di sini bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat muhibah.

Program anjuran Pusat Khidmat Pejabat Parlimen P.179 Ranau dengan kerjasama Kelab Prihatin Ranau itu menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Pengerusi penganjur merangkap Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Chong Peck Hing, berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mencerminkan semangat perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di daerah ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang menzahirkan penghargaan atas kehadiran masyarakat dari seluruh pelosok daerah bagi bersama-sama memeriahkan sambutan tersebut.

SUASANA — Ribuan tetamu yang menghadiri majlis itu teruja dan terpegun menyaksikan persembahan tarian singa yang dipertunjukkan.

Beliau berkata penganjuran rumah terbuka bukan sekadar meraikan perayaan Tahun Baharu Cina, malah menjadi simbol penyatuan rakyat tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

“Semangat kebersamaan serta kerjasama yang ditunjukkan hari ini mencerminkan tahap perpaduan yang tinggi dan menjadi asas penting kepada pembangunan berterusan, khususnya di Ranau,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sambutan berkenaan turut diserikan dengan persembahan tarian singa, tarian oleh murid Tadika SJKC Pai Wen Ranau, upacara Yee Sang serta penyampaian ang pau kepada kanak-kanak dan warga emas oleh Datin Helena Masry, isteri kepada Ahli Parlimen Ranau.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri N.38 Paginatan Datuk Rusdin Riman, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Paginatan Datuk Amisah Yassin, Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam serta wakil pelbagai jabatan dan agensi.

Sambutan yang berlangsung dalam suasana penuh keharmonian itu jelas memperlihatkan komitmen semua pihak dalam memupuk perpaduan serta memperkukuh hubungan antara kaum demi kesejahteraan bersama. –Oleh Salwah Aramat

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN