ADVERTISEMENTspot_img

JKR Laksana Penutupan Sementara Satu Lorong Jalan Kota Kinabalu–Sandakan di Ranau Mulai 2 Mac

RANAU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan melaksanakan penutupan sementara satu lorong secara berfasa di Jalan Kota Kinabalu–Sandakan (CH 68.100) di daerah ini bermula 2 Mac hingga 12 April depan bagi kerja-kerja penyenggaraan jalan raya.

JKR dalam satu notis awam memaklumkan, penutupan itu melibatkan laluan utama berhampiran kawasan pembinaan dan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran kerja serta keselamatan pengguna jalan raya.

Menurut kenyataan itu, fasa pertama penutupan dijadualkan dari 2 Mac hingga 22 Mac, manakala fasa kedua bermula 23 Mac hingga 12 April 2026.

“Orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi semua papan tanda lalu lintas serta arahan keselamatan yang dipasang di kawasan terlibat sepanjang tempoh pelaksanaan kerja,” menurut kenyataan berkenaan.

Penutupan satu lorong itu bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja penyenggaraan dan memastikan keadaan jalan lebih selamat serta selesa digunakan selepas siap kelak.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya yang melalui laluan tersebut, khususnya yang menuju ke arah Kota Kinabalu dan Sandakan, digalakkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

JKR Sabah turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul sepanjang tempoh pelaksanaan kerja penyenggaraan berkenaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN