DITAHAN..Suspek (tengah) yang berjaya ditahan polis di salah sebuah hotel di Putatan
PENAMPANG: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis 24 jam di daerah ini pada 25 Februari lepas.
Ketua Polis Daerah Penampang, Suprintenden Sammy Newton berkata kejadian kira-kira 3.57 pagi itu melibatkan seorang suspek bersenjatakan pisau yang melarikan wang tunai dianggarkan RM300 sebelum meloloskan diri dari tempat kejadian.
Beliau berkata bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan lelaki berusia 33 tahun itu di sebuah hotel di daerah Putatan pada 26 Februari, kurang 48 jam selepas laporan dibuat.
“Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan semasa kejadian termasuk sebuah topi keledar, pakaian, sebilah pisau dan sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun lain yang dilaporkan sebelum ini di sekitar daerah berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.



