ADVERTISEMENTspot_img

“Bahasa Itu Maruah”: Persatuan Murut Bokan Tegas Pertahan Martabat Budaya

Akinon


SOOK: Persatuan Murut Bokan menyuarakan pendirian tegas terhadap penyebaran sebuah lagu berbahasa Murut yang didakwa berunsur lucah serta dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), kerana disifatkan mencemar identiti dan kehormatan budaya masyarakat itu.


Perkara berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat persediaan Mesyuarat Agong persatuan yang dijadualkan berlangsung pertengahan Mac depan, diadakan di Pejabat Daerah Sook, di sini.


Pengerusinya, Akinon @ Julius Palayak, berkata isu tersebut bukan sekadar melibatkan kandungan hiburan, sebaliknya menyentuh soal maruah dan jati diri komuniti Murut.


“Bahasa bukan bahan hiburan murahan. Ia jiwa dan sejarah kita. Apabila bahasa diperalat untuk tujuan sensasi, yang terjejas bukan sahaja imej masyarakat, tetapi juga keyakinan generasi muda terhadap nilai warisan sendiri,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat itu.


Menurut beliau, kemajuan teknologi termasuk penggunaan AI tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghasilkan kandungan yang mencemarkan budaya dan sensitiviti masyarakat setempat.


Dalam mesyuarat sama, ahli jawatankuasa turut menyatakan sokongan terhadap pendirian Persatuan Murut Timugan yang sebelum ini mengecam penyebaran kandungan tular berkenaan.


Selain membincangkan isu tersebut, mesyuarat berkenaan turut meneliti penstrukturan semula organisasi bagi memperkukuh hala tuju persatuan menjelang Mesyuarat Agong akan datang.


Akinon berkata persatuan itu menyeru masyarakat agar lebih beretika dalam penggunaan platform digital serta menghormati sensitiviti budaya tempatan.


“Kalau kita sendiri tidak menjaga bahasa kita, siapa lagi?” tegasnya.


Persatuan Murut Bokan menegaskan komitmen untuk terus menjadi benteng mempertahankan martabat bahasa dan budaya Murut agar kekal dihormati dalam arus perkembangan teknologi masa kini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN