ADVERTISEMENTspot_img

DEWAN TERBUKA PANTAI KALANGADAN DIRASMI, MANFAATKAN KOMUNITI KG TIBABAR

SIMBOLIK……..Para tetamu yang hadir merakam gambar bersama Jonathan selepas upacara memotong reben sebagai simbolik perasmian dewan tersebut.


RANAU: Penduduk Kampung Tibabar kini menikmati kemudahan baharu apabila Dewan Terbuka Pantai Kalangadan yang siap dibina dirasmikan dalam satu majlis penuh meriah dan semangat kebersamaan, baru-baru ini.


Majlis perasmian itu disempurnakan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, yang disambut mesra oleh penduduk kampung serta barisan kepimpinan masyarakat dan wakil agensi kerajaan.


Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur atas kejayaan merealisasikan projek berkenaan yang disifatkan sebagai satu lagi usaha meningkatkan kemudahan asas luar bandar demi kesejahteraan rakyat.


“Setiap peruntukan kerajaan adalah untuk manfaat rakyat. Justeru, saya berharap kemudahan ini dijaga dengan penuh tanggungjawab agar dapat digunakan dalam tempoh jangka panjang,” katanya.


Menurut beliau, dewan terbuka itu berpotensi menjadi lokasi utama bagi penganjuran mesyuarat, kursus, majlis keramaian, program belia serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang mampu merancakkan pembangunan kampung.


Projek pembinaan dewan berkenaan menelan kos kira-kira RM200,000 dan dilihat sebagai pelaburan penting dalam memperkukuh prasarana komuniti setempat.


Penduduk Kampung Tibabar menyambut baik pembinaan dewan itu yang disifatkan sebagai kemudahan yang telah lama dinantikan. Mereka percaya kewujudan dewan berkenaan mampu mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.


Dengan siapnya Dewan Terbuka Pantai Kalangadan, komuniti setempat kini mempunyai ruang lebih kondusif untuk melaksanakan pelbagai aktiviti demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.


Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Kesejahteraan Rakyat Daerah Ranau Samdin Rijin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Raimon Patuk, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Japilin Mosikal, Pengerusi Dewan Kampung Tibabar serta Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau Zita Fedilis bersama penduduk setempat. –Oleh Salwah Aramat

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN