Jamawi melawat keadaan kediaman pemohon Rumah Mesra SMJ, DUN Melalap.
TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, turun padang meninjau sendiri keadaan rumah pemohon Rumah Mesra SMJ bagi DUN Melalap 2026.
Jamawi yang diiringi Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin meninjau 10 buah rumah di Kampung Baab, Kg. Naluyan, Kg. Undusan, Kg. Batu Apar, Kg. Pangalat dan Kg. Monggol, yang kesemuanya dalam keadaan amat daif.
Beliau berkata, tinjauan akan diteruskan ke baki pemohon lain untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Fokus Group yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew bagi memuktamadkan senarai penerima Rumah Mesra SMJ tahun ini.
“Tiada proses pilih kasih, tiada cable, tiada lobi, hanya yang benar-benar layak akan diberi keutamaan,” kata Jamawi yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Selain itu, beliau turut meninjau sistem perparitan di Kg Baab dan kerja-kerja naik taraf perlu dilaksanakan kerana culvert sedia ada tidak mampu menampung air besar, menyebabkan banjir di kawasan perumahan penduduk kampung.
Beliau menambah bahawa pihaknya telah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) Tenom agar kerja-kerja naik taraf dapat dilaksanakan segera.
Terdahulu, Jamawi menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nurul Islamiah, Kg Pamilaan, bertanya khabar kepada semua jemaah dan mengucapkan selamat berpuasa di bulan Ramadan.



