PENGHARGAAN…Mariah Doksil, Presiden Wartawan Sabah (SJA) menerima penghargaan Sahabat Media UMS 2026 disampaikan Raman Noordin.
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengiktiraf peranan media sebagai rakan strategik dalam mempertahankan reputasi serta memastikan ketelusan maklumat institusi itu, termasuk ketika berdepan pelbagai cabaran sepanjang tahun lalu.
Naib Canselor UMS, Kasim Haji Mansor, berkata hubungan erat antara universiti dan rakan media dibina atas asas kepercayaan, integriti dan tanggungjawab bersama terhadap masyarakat, melangkaui kerjasama profesional semata-mata.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Raman Noordin, pada Majlis Apresiasi Sahabat Media UMS (MASMUMS 2026) yang diadakan di sini, malam tadi.
Menurutnya, 2025 merupakan tempoh mencabar buat universiti berkenaan apabila berdepan isu krisis bekalan air yang menjejaskan kebajikan warga kampus, selain dinamika aktivisme pelajar dan beberapa isu tular di media sosial yang memberi kesan kepada reputasi institusi.
“Dalam tempoh tersebut, media memainkan peranan signifikan dengan menunjukkan profesionalisme tinggi serta komitmen terhadap etika kewartawanan melalui pengesahan fakta dan pemberian ruang kepada universiti untuk menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.
Beliau berkata pendekatan pelaporan yang seimbang dan tidak bersifat sensasi menjadi pemisah jelas antara kewartawanan berintegriti dan penyebaran maklumat tanpa tanggungjawab, khususnya dalam era maklumat bergerak pantas yang membentuk persepsi awam sebelum fakta diperjelas.
Sepanjang 2025, UMS menerima liputan meluas meliputi laporan berita, wawancara, rencana khas dan liputan program, yang jika dinilai berdasarkan kadar komersial pengiklanan mencecah jutaan ringgit.
“Namun nilainya jauh lebih besar daripada angka tersebut. Media ialah pembentuk persepsi awam dan pemangkin keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar media dilihat sebagai “Very Important Press” dalam ekosistem universiti dan bukan sekadar tetamu pada program rasmi.
Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan universiti termasuk ketua jabatan, fakulti dan agensi di bawah seliaan UMS supaya terus memperkukuh hubungan dengan rakan media sebagai rakan strategik.
“Dalam dunia hari ini, pengurusan persepsi awam adalah satu bentuk kepimpinan,” katanya, sambil menambah universiti bertanggungjawab memediasi realiti kepada masyarakat melalui penyampaian penemuan penyelidikan dan pandangan pakar dalam bahasa yang ringkas serta mudah difahami.

Sebahagian rakan media yang diraikan sempena Majlis Apresiasi Sahabat Media UMS 2026
Sementara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS berkata institusi ilmu memerlukan suara dan suara itu memerlukan platform, yang selama ini digalas oleh pengamal media.
Beliau berkata sepanjang tempoh 14 Januari hingga 31 Disember 2025, UMS merekodkan 12,897 liputan media merangkumi media cetak, penyiaran dan portal dalam talian.
Liputan itu menjana potensi capaian mencecah 329 juta audiens merentasi pelbagai platform dengan nilai anggaran Advertisement Space Rate (ASR) sebanyak RM75.07 juta.
“Namun ini bukan sekadar angka. Ia adalah gambaran kepercayaan, bukti konsistensi serta refleksi bahawa naratif UMS kekal relevan dan signifikan,” katanya.
Menurutnya, bulan Jun merekodkan jumlah sebutan tertinggi manakala November mencatatkan capaian serta nilai ASR paling tinggi sepanjang tahun, sekali gus mencerminkan penerimaan positif masyarakat terhadap pencapaian akademik, kejayaan penyelidikan, inisiatif komuniti dan kepimpinan universiti.
Beliau menegaskan media bukan sekadar pelapor berita, sebaliknya rakan strategik dalam pembinaan reputasi, pembentukan persepsi dan penggerak keyakinan awam.
Pusat Komunikasi Korporat UMS, katanya, komited untuk terus memperkukuh sinergi berkenaan dengan memastikan penyampaian maklumat yang sahih, pantas dan telus sebagai keutamaan, selaras dengan usaha membina kolaborasi jangka panjang berteraskan saling menghormati dan kepercayaan.



