Para ahli Mo Darts Club memotong kek sempena Valentine’s Day 2026, sebelum memulakan pertandingan.
TENGHILAN, Tamparuli: Molisau Darts Club (Mo Darts Club) telah menganjurkan Pertandingan Darts sempena sambutan Valentine’s Day yang berlangsung di Kumbaron Darts, Kampung Molisau Tenghilan, hari ini.
Pertandingan yang julung kali diadakan itu berjaya menarik penyertaan seramai 50 peserta, terdiri daripada pasangan suami isteri serta ahli yang berpasangan, yang bersaing secara sihat bagi merebut hadiah berupa wang tunai yang disediakan pihak penganjur.
Program berkenaan merupakan aktiviti pertama dianjurkan oleh Mo Darts Club sempena cuti sekolah menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, sekali gus memberikan ruang kepada komuniti setempat untuk meluangkan masa bersama dalam suasana santai dan harmoni.
Selain pertandingan darts, turut diadakan acara memotong kek sempena Valentine’s Day sebagai simbolik penghargaan terhadap semangat kasih sayang, persahabatan dan perpaduan dalam kalangan ahli kelab serta komuniti setempat.
Acara tersebut menambahkan lagi kemeriahan program dan menjadi detik istimewa untuk semua yang hadir.
Pengerusi Penganjur, Joanes Robert Johnny berkata, objektif utama penganjuran pertandingan tersebut adalah untuk memupuk dan mengeratkan silaturrahim dalam kalangan ahli kelab yang terdiri daripada penduduk Kampung Molisau serta beberapa kampung sekitar kawasan Tenghilan.
“Selain menggalakkan gaya hidup aktif melalui sukan rekreasi seperti darts, program ini juga menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan dan semangat kekitaan dalam komuniti,” katanya.
Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan dan diperluaskan lagi penyertaannya pada masa akan datang, sekali gus mempromosikan aktiviti sihat dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Pertandingan berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat kesukanan, dengan sokongan ahli keluarga serta rakan-rakan yang hadir./Ateng



